Lebih 600 pembantah ditahan di Belarus

MINSK, 7 SEPT – Kementerian dalam negeri Belarus berkata semalam polis telah menahan 633 orang kelmarin semasa bantahan besar-besaran terbaharu yang menuntut berakhirnya pemerintahan pemimpin Alexander Lukashenko.

Penyokong pembangkang mengadakan tunjuk perasaan besar di Minsk kelmarin dengan kehadiran lebih 100,000 orang, mengekalkan tekanan terhadap Lukashenko dan mencabar dakwaannya yang telah memenangi pemilihan semula dalam pengundian presiden pada 9 Ogos.

“Pada keseluruhannya, 633 orang ditahan di republik itu kerana melanggar undang-undang mengenai acara berkumpulan,” kata jurucakap kementerian dalam negeri Olga Chemodanova.

Beliau menambah 363 orang telah dihantar ke pusat tahanan sementara menunggu perbicaraan mahkamah. – AFP

Penyokong pembangkang Belarus menghadiri rapat menentang keputusan pilihan raya presiden pada 9 Ogos di Minsk pada 6 September 2020. – AFP