Lebih 600 perniagaan dipilih tinjauan BSI

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) memaklumkan bahawa kaji selidik ke atas perniagaan-perniagaan yang terpilih untuk meninjau Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) akan dijalankan bermula 1 Ogos.

AMBD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menjelaskan bahawa perniagaan-perniagaan yang terpilih akan dihubungi oleh kakitangan AMBD untuk menetapkan tarikh bagi temu bual tersebut dan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan mereka yang terlibat dalam temu bual berkenaan, langkah berjaga-jaga terhadap wabak COVID19 akan diambil berdasarkan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Temu bual berkenaan akan dijalankan oleh kakitangan AMBD yang akan memperkenalkan diri sebelum sesi temu bual dimulakan dan kaji selidik itu dijangka akan dilaksanakan secara berterusan pada setiap bulan.

AMBD menyatakan lanjut bahawa BSI yang akan diterbitkan secara bulanan, bertujuan untuk mengukur tahap sentimen atau keyakinan perniagaan-perniagaan di Negara Brunei Darussalam.

Lebih 600 perniagaan daripada pelbagai sektor di Negara Brunei Darussalam telah dipilih untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik berkenaan di mana soalan-soalan yang akan diajukan adalah berkaitan dengan keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, jumlah pekerja, serta kos untuk menjalankan perniagaan.

AMBD menekankan bahawa tiada maklumat peribadi akan ditanya selain daripada nama dan maklumat untuk menghubungi responden dan sebarang maklumat yang dikongsikan adalah sulit. Memantau tahap keyakinan perniagaan adalah penting, mengambil kira ia adalah salah satu petunjuk utama bagi iklim perniagaan dan tahap keadaan ekonomi bagi sesebuah negara secara amnya.

Keyakinan para peniaga merupakan satu elemen penting bagi jangkaan pertumbuhan perniagaan dan pelaburan, di samping peningkatan peluang pekerjaan. BSI akan memberikan maklumat tambahan yang bermanfaat mengenai keadaan ekonomi Negara Brunei Darussalam daripada perspektif para peniaga di negara ini. Maklumat yang dikumpulkan secara berterusan itu juga akan dapat membantu para penggubal dasar untuk menghasilkan dasar-dasar yang tertentu ke arah pembangunan ekonomi.

Kenyataan menyatakan bahawa bagi maklumat lanjut mengenai BSI dan soalan-soalan yang akan diajukan kepada para perniagaan, sila layari laman sesawang AMBD di www.ambd.gov.bn. Para responden yang ingin mengesahkan seseorang penemu bual boleh menghubungi AMBD di talian 2388388.