Lebih 600 sertai larian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Lebih 600 orang pelajar Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) telah mengambil bahagian dalam Larian Jarak Jauh Antara Rumah dan Fun Run Maktab Duli yang berlangsung di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

Larian yang dirasmikan oleh Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim itu disertai oleh pelajar-pelajar enam atas dan enam bawah maktab berkenaan yang dibahagikan kepada rumah-rumah sukan iaitu Kesuma Negara, Indera Negara, Setia Negara dan Putera Negara.

Acara dimulakan dengan lagu kebangsaan dan lagu rasmi maktab diikuti dengan senamrobik serta pelepasan peserta larian oleh Hajah Monaliza dengan peserta larian jarak jauh berlari sejauh 5.5 kilometer dan peserta Fun Run berlari sejauh 3 kilometer.

Acara itu dimeriahkan lagi dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada pelajar-pelajar bertuah dan penyampaian hadiah kepada pemenang larian jarak jauh.

Juara bagi Kategori Berkumpulan Lelaki larian berkenaan ialah rumah Putera Negara diikuti oleh rumah Setia Negara di tempat kedua dan rumah Indera Negara di tempat ketiga.

Sementara itu, juara bagi Kategori Berkumpulan Perempuan larian berkenaan ialah rumah Putera Negara diikuti oleh rumah Kesuma Negara di tempat kedua dan rumah Setia Negara di tempat ketiga.

Hajah Monaliza menyempurnakan pelepasan peserta dalam acara larian jarak jauh yang berlangsung di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.