Lebih $60,000 untuk Tabung Bantuan COVID-19

Oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Dalam sama-sama membantu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan menangani gelombang kedua wabak COVID-19 di negara ini, Persatuan Hokkien Brunei Darussalam telah menyumbangkan sejumlah $58,250 untuk Tabung Bantuan COVID-19.

Majlis penyerahan sumbangan telah diadakan di bangunan Kementerian Kesihatan, hari ini, di mana sumbangan daripada persatuan itu telah disampaikan oleh Presidennya, Lim Han Chiong yang memulakan pengumpulan dana dalam kalangan ahli persatuan.

Turut menyampaikan sumbangan adalah Max V Management, pemaju Citis Square dan Kompleks Delima Jaya yang menyumbangkan $5,000 kepada tabung berkenaan.

Sumbangan telah disampaikan oleh pengarah urusannya, Dato‘ Victor Lai yang juga ahli Persatuan Hokkien Brunei Darussalam.

Lim Han Chiong ketika ditemu bual menyatakan bahawa sumbangan berkenaan dikumpulkan daripada ahli jawatankuasa termasuk beliau sen-diri, penasihat persatuan, kumpulan belia persatuan dan beberapa orang ahli persatuan.

“Ini adalah masa kritikal yang dihadapi semua tanpa mengira bangsa atau agama dan menyumbang untuk membantu pihak berkuasa yang relevan untuk menangani dan meratakan lekukan COVID-19 serta melindungi negara daripada dijangkiti oleh virus yang boleh membawa maut ini,” ujarnya.

Dato‘ Victor Lai pula berkata, beliau berharap sumbangan yang disampaikan itu dapat memudahkan pihak berkuasa dalam menangani wabak dan berharap gelombang kedua ini segera hilang dan masyarakat dapat kembali ke kehidupan seharian.

Persatuan Hokkien Brunei Darussalam menyumbangkan sejumlah $58,250 untuk Tabung Bantuan COVID-19.