Lebih 600,000 dos vaksin sudah diberikan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Seramai 2,284 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kelmarin, sekali gus membawa jumlah penduduk yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan kepada 350,801 orang iaitu 81.6 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

“Manakala, 250,241 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 58.2 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa dalam kalangan penduduk berumur 60 tahun ke atas, seramai 42,075 orang iaitu 97.2 peratus telah menerima satu dos vaksin COVID-19 dan seramai 38,047 orang iaitu 87.9 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin.

Dengan yang demikian, Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 601,042 jumlah pemberian dos pertama dan kedua, sejak 3 April 2021.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah pemberian tertinggi iaitu sebanyak 382,203, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 78,666, Daerah Tutong sebanyak 70,434, dan Daerah Temburong sebanyak 69,739 pemberian.