Lebih 70% populasi di Labuan terima dos pertama vaksin

LABUAN, 20 SEPT – Daripada keseluruhan 103,000 penduduk Labuan, 73.63 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat 19 September lepas, manakala 69.49 peratus lengkap divaksinasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Labuan Rithuan Ismail berkata jumlah yang menerima vaksin semakin meningkat dalam tempoh dua bulan lepas.

Beliau berkata bagi individu dewasa, 100.97 peratus telah selesai menerima dos kedua.

“Lebih sedikit daripada 100 peratus adalah disebabkan tambahan jumlah pekerja yang bekerja di sektor berkaitan minyak dan gas Labuan yang menerima vaksin serta mereka yang dalam skim penempatan masyarakat pelarian. Kami ingin mengurangkan penularan jangkitan jadi kami mahu mereka yang bekerja di pulau ini menerima suntikan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata fasa satu program vaksinasi untuk pelajar sekolah yang dilancarkan baru-baru ini menyaksikan 2,469 daripada 2,593 pelajar layak menerima suntikan pertama. – Bernama