Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Lebih 70 sertai aktiviti menanam padi

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Persatuan Brunei-USA (BUSA) dengan kerjasama Travelhub Tours and Travel Sdn Bhd kelmarin mengadakan aktiviti penanaman padi di Simpang 766-48-9, Sungai Lalit di Sungai Liang, Daerah Belait. 

    Hadir melancarkan program berkenaan ialah Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R McClelland, dengan menanam anak benih padi yang pertama. Lebih 70 sukarelawan yang terdiri daripada ahli BUSA dan ahli chapter, BUSA-PB Chapter menyertai aktiviti itu.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Masjid Kampung Sungai Liang, Awang Mohamad Ikhwan bin Irwandy.

    Ini diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden BUSA, Dayang Salimah binti Haji Saim dan taklimat mengenai aktiviti penanaman padi oleh Pengurus Pembangunan Pelancongan Travelhub Tours and Travel Sdn Bhd, David Coleman dan Pengerusi BUSA-PB Chapter, Dayang Aneesa Harziah Adriana. Majlis diakhiri dengan pengagihan paket padi MRQ76 kepada semua sukarelawan.

    Program yang disokong oleh Kedutaan AS di Brunei Darussalam dan komuniti Sun-gai Lalit itu diadakan bersempena dengan Pesta Hari Belia Kebangsaan (HBK 17) dan merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) BUSA untuk menghulurkan bantuan kepada warga emas yang bekerja di ladang penanaman padi. 

    Pasangan warga emas, Awang Muhammad Jos Rezuan bin Abdullah Radin dan isteri, Dayang Rasim Khairiah binti Abdullah Ringgit telah menanam padi sejak tahun 2005 di kawasan sawah seluas 0.76 hektar yang menghasilkan padi MRQ76.

    Susulan pandemik, BUSA berharap program CSR persatuan dapat membantu mengembalikan minat belia dalam pertanian dan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan pertanian tempatan yang bukan sekadar aktiviti perniagaan lain, tetapi sebagai komoditi asas yang diperlukan demi kelangsungan hidup.

    Melalui aktiviti penanaman padi, BUSA juga berharap dapat memupuk semangat kerjasama atau bergotong-royong, selain membantu menjalin kemesraan dalam kalangan ahli masyarakat.

    PYT Caryn R McClelland menanam anak benih padi dalam acara yang diadakan di Sungai Lalit, Sungai Liang, Daerah Belait, baru-baru ini.
    Antara peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti menanam padi di Sungai Lalit, Sungai Liang, Daerah Belait.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...