Lebih 700 anggota PDB sertai rentas desa dan tarik kalat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Kira-kira seramai 700 orang peserta yang terdiri daripada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) ikut serta dalam kejohanan rentas desa dan pertandingan akhir tarik kalat antara cawangan bagi tahun 2019.

Hadir selaku tetamu kehormat pada acara yang berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah, Gadong hari ini, Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

Acara turut dihadiri Penolong Pesuruhjaya Polis Dato Paduka Haji Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; pemangku timbalan pesuruhjaya polis, pengarah-pengarah, pegawai kanan serta anggota PDB.

Acara anjuran Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MSPDB) ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada anggota-anggota PDB di bawah cawangan masing-masing memperlihatkan keupayaan dan ketahanan dari segi mental dan fizikal seterusnya bagi mencungkil dan melahirkan peserta yang berbakat dan boleh diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

Tiga kategori acara dipertandingkan dalam kejohanan tersebut mengikut peringkat umur iaitu larian sejauh 3.5km, 6km dan juga 10km. Pemenang keseluruhan disandang oleh Cawangan B, sementara itu, Naib Johan dimenangi Cawangan D. Manakala, di tempat ketiga ialah Cawangan A. Bagi pertandingan peringkat akhir tarik kalat pula menyaksikan kemenangan berpihak kepada Cawangan E.

Pertandingan sukan antara cawangan ini akan diteruskan pada masa-masa yang akan datang bagi memberi galakkan semangat kesukanan di kalangan warga PDB serta memupuk gaya kehidupan yang sihat.