Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Berikutan dengan situasi pandemik COVID-19, tidak dinafikan keadaan ekonomi di peringkat negara dan juga segelintir entiti atau individu turut terjejas.
Dalam hubungan itu, golongan belia negara khususnya gabungan tujuh kumpulan belia masjid telah bersama-sama melaksanakan Projek Belia Masjid Prihatin, iaitu sebuah projek khidmat masyarakat yang memberikan peluang kepada bagi orang ramai untuk sama-sama tampil ke hadapan menyumbang derma kewangan yang akan digunakan untuk membeli barangan asasi untuk disalurkan kepada golongan keluarga yang kurang berkemampuan.
Projek itu juga diharap dapat membantu meringankan sedikit sebanyak bebanan perbelanjaan beberapa kumpulan golongan yang memerlukan di negara ini.
Sehubungan dengan itu, lebih daripada 700 buah keluarga telah menerima sumbangan barangan asasi melalui Projek Belia Masjid Prihatin anjuran gabungan tujuh kumpulan belia-belia masjid di Negara Brunei Darussalam serta turut disokong oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Projek itu menyediakan peluang bagi orang ramai untuk menyumbang dari segi kewangan untuk membeli barangan asasi dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan, atas sifat keprihatinan dan kemurahan hati orang ramai, jumlah dana yang berjaya terkumpul selama dua minggu projek dilaksanakan telah berjaya mengutip melebihi daripada jangkaan awal yang hanya menyasarkan sebanyak 450 buah keluarga sahaja.
Seramai lebih daripada 100 orang belia terlibat dalam projek berkenaan yang terdiri daripada ahli-ahli belia masjid iaitu Belia Masjid Ashabul Akhyar Masjid Kampung Lumapas, Belia Masjid Ashabul Haliim Masjid Pengiran Muda Abdul Malik Kampung Tungku-Katok, Belia Masjid Ash-Shaliheen, Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, Belia Syababurroja Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Belia Masjid RPN Kampung Pandan. Projek itu turut melibatkan ahli-ahli Kumpulan Alumni Eksekutif Keugamaan dan Kerohanian (EKK) Universiti Brunei Darussalam dalam pengagihan barangan kepada penerima.





























