Lebih 700 minuman keras dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Sejumlah 96 botol dan 672 tin minuman keras berjaya dirampas hasil rondaan dan pemantauan yang dijalankan keanggotaan Balai Polis Bangar di kawasan padi Kampung Perdayan pada 10 Ogos lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dalam rondaan lewat petang itu, barangan tegahan berkenaan ditemui di kawasan semak dalam keadaan berbungkus kotak berwarna hitam yang mencurigakan.

Kesemua barangan tegahan dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

Sehubungan dengan itu, PPDB mengingatkan masyarakat awam agar tidak terlibat dengan kegiatan barang tegahan seludup yang mana jika tidak ditangani dengan segera dapat menjejaskan keselamatan, keharmonian dan kehidupan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui mengenai sebarang individu yang membuat perjalanan menyeberang sempadan secara haram disarankan untuk melaporkannya segera kepada pihak berkuasa seperti Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini dengan seberapa segera.

Antara minuman keras yang dirampas oleh anggota Balai Polis Bangar semasa rondaan di kawasan padi Kampung Perdayan pada 10 Ogos lalu. – Gambar serahan PPDB