Lebih 71% sudah menerima vaksin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Seramai 6,476 orang lagi telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di seluruh negara kelmarin sekali gus menambah jumlah orang yang telah menerima satu dos vaksin di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan kepada 323,989 orang iaitu 71.4 peratus daripada jumlah penduduk negara.

“Manakala, 208,680 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 46 peratus daripada jumlah penduduk negara,” kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media harian yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dengan yang demikian, tambah beliau, jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua sejak 3 April 2021 ialah 532,669.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 348,542 suntikan, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 66,922 suntikan.

Manakala itu, Daerah Tutong mencatatkan 60,576 suntikan dan Daerah Temburong pula sebanyak 56,629 suntikan.