WASHINGTON, 6 Mac – Jumlah penghijrah yang tidak didokumenkan, yang dihalang di antara sempadan Amerika Syarikat (AS) dengan Mexico, meningkat kepada lebih 76,000 pada Februari, jumlah bulanan tertinggi dalam tempoh beberapa tahun, menurut Perlindungan Kastam dan Sempadan AS, semalam.
Jumlah keluarga dan kanak-kanak tanpa penjaga mereka turut meningkat kepada hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan, yang sering kali menyeberang sempadan dalam kumpulan besar dan menyerahkan diri mereka kepada pihak berkuasa untuk memohon perlindungan sekali gus menjejaskan taktik pentadbiran Trump dalam usahanya untuk mengawal aliran penghijrah.
Pada 76,103, jumlah orang yang disekat di sempadan atau ditahan selepas menyeberang, meningkat secara mendadak daripada kira-kira 61,000 secara purata untuk tiga bulan sebelumnya, satu pertambahan yang mengejutkan yang pada kebiasaannya berkurangan dalam bulan paling sejuk tahun itu.
Ia juga lebih dua kali ganda daripada jumlah yang dicatatkan pada Februari 2018 dan 3.2 kali lebih tinggi untuk Februari 2017, bulan pertama sepenuhnya selepas Presiden AS, Donald Trump memegang jawatan presiden dengan berjanji untuk menangani masalah penghijrahan haram.
“Buat masa sekarang kami menghadapi krisis kemanusiaan dan keselamatan negara di sepanjang sempadan barat daya kami,” kata Pesuruhjaya CBP, Kevin McAleenan.
“Pertambahan besar dalam keluarga dan kanak-kanak yang menyeberangi sempadan kami, dalam kumpulan lebih besar dan di kawasan-kawasan terpencil, memberikan cabaran unik kepada operasi dan kemudahan kami, dan kepada rakan kami.”
Lewat Januari lalu, kerajaan telah melancarkan satu dasar baharu untuk menghantar pencari suaka – hampir kesemuanya datang dari Guatemala, Nicaragua dan El Salvador kembali ke sempadan ke Mexico untuk menunggu, sementara permohonan mereka dikaji semula, yang boleh memakan tempoh sehingga dua tahun. – AFP

































