PHNOM PENH, 23 JAN – Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen berkata hari ini bahawa Tahun Baharu Cina telah mendapat populariti besar di negara itu, hingga dianggar lebih 80 peratus penduduknya meraikannya.
Dalam ucapannya semasa majlis graduasi hampir 6,800 pelajar di University for Specialities, Kemboja, Hun Sen berkata sebelumnya bahawa kira-kira 10 peratus sahaja penduduk di kawasannya menyambut perayaan itu.
“Kini, sekitar 70-80 peratus meraikannya,” kata perdana menteri berusia 70 tahun itu. Hun Sen berkata, semua ahli keluarganya termasuk isteri, anak, menantu dan cucunya menyambut Tahun Baharu Cina.
Tahun Baharu Cina 2023, atau Festival Musim Bunga, jatuh pada Ahad.
Sambo Manara, naib presiden Universiti Pannasastra, Kemboja, berkata hubungan bersejarah telah membawa ikatan persahabatan yang lebih erat antara penduduk Kemboja dan China.
“Sebilangan besar rakyat Kemboja berketurunan Cina dan kami menganggarkan kira-kira 80 peratus rakyat Kemboja tinggal di kawasan bandar dan 40 peratus di luar bandar menyambut Tahun Baharu Cina,” katanya kepada Xinhua. – Xinhua
