Lebih 800 hadiri Hari Pengambilan di Daerah Belait

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 3 SEPT – Hari Pengambilan yang dianjurkan oleh JobCentre Brunei (JCB) sebagai usaha untuk menghubungkan para pencari kerja dengan syarikat-syarikat, telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila seramai 810 orang menghadiri acara yang diadakan di Pusat Persidangan Kuala Belait, hari ini.

Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kekosongan yang terdapat di sektor swasta, acara berkenaan juga merupakan peluang bagi JCB membantu para pencari kerja dalam berhubung dengan syarikat-syarikat tempatan yang terlibat serta bagi menjawab sebarang persoalan daripada pencari kerja yang hadir.

Antara tujuh buah syarikat yang menyertai acara itu ialah Lilama South East Asia Sdn Bhd, Serikandi Oil Field Services, Kumpulan QAF Brunei (Supa Save), Soon Lee Mega Mart, S.B. Kani Sdn Bhd, SPHI Foods dan Rentokil Initial (B) Sdn Bhd.

Syarikat-syarikat berkenaan mengetengahkan lebih 100 kekosongan secara keseluruhannya dan penyertaan mereka pada acara itu bukan sahaja menyediakan peluang bagi para pencari kerja mengetahui lebih lanjut mengenai syarikat-syarikat berkenaan malah menyertai temu duga langsung.

Di samping itu, orang awam juga dapat mengakses dan mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan-perkhidmatan JCB termasuk Program Perantisan i-Ready serta pendaftaran ke portal JCB.

Kumpulan QAF Brunei adalah antara syarikat yang menyertai Hari Pengambilan di Pusat Persidangan Kuala Belait, kelmarin.

Pada acara itu, para pencari kerja yang hadir diasingkan kepada beberapa kumpulan untuk memastikan penjarakan sosial dalam mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Salah seorang pencari kerja yang sempat ditemui pada acara berkenaan, Aisy Ali berkata, sebagai graduan yang baru menamatkan pengajian di United Kingdom tahun lalu, dalam bidang sains nautika, ini merupakan acara pencarian kerja pertama seumpamanya yang dihadirinya. Menurut beliau, acara berkenaan merupakan permulaan baik bagi mereka yang mencari pekerjaan di mana beliau juga mengambil peluang untuk mencari syarikat yang memerlukan kepakarannya.

Beliau juga melahirkan harapan bahawa pertemuan dengan syarikat-syarikat tempatan berkenaan akan membuahkan hasil baginya dan pencari kerja lain. Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan para pencari kerja supaya lebih terbuka bagi sebarang pekerjaan kerana peluang-peluang seperti ini membantu menambah pengalaman kerja.

JCP juga merancang untuk mengendalikan kempen pengambilan seterusnya dalam bulan ini dan sedang mengumpulkan maklum balas mengenai permintaan daripada majikan-majikan yang memerlukan pekerja tempatan dengan segera.