BEIJING, 7 OGOS – Lebih 80,000 orang pelancong terkandas di sebuah bandar peranginan yang terkenal sebagai ‘Hawaii China’ selepas penularan COVID sehingga menyebabkan pihak berkuasa mengenakan sekatan perjalanan yang ketat.
Bandar tarikan pelancong, Sanya, mempunyai penduduk lebih satu juta orang yang terletak di pulau selatan Hainan, di mana 483 kes COVID telah dilaporkan hari ini.
Kesemua penerbangan keluar dari bandar itu telah dibatalkan sepanjang hujung minggu, dengan pihak berkuasa turut menghentikan penjualan tiket kereta api.
Pelancong yang ingin meninggalkan bandar itu mesti mempunyai lima keputusan ujian PCR yang negatif dalam tempoh seminggu, menurut pihak berkuasa kesihatan.
Hotel-hotel di bandar itu juga di-minta untuk memberikan diskaun 50 peratus kepada pelanggan sehingga sekatan perjalanan dilonggarkan, seorang pegawai berkata semasa sidang media kelmarin. China menjadi satu-satunya negara ekonomi utama yang masih melaksanakan strategi sifar COVID dengan mengenakan perintah berkurung dan tempoh kuarantin yang lama sehingga menjejaskan sektor pelancongan tempatan.
Sempadan negara itu juga sebahagian besarnya masih ditutup sejak awal 2020 dan menghentikan pelancongan antarabangsa.
Penularan terkini COVID berlaku semasa kemuncak musim percutian di Sanya, kawasan terkenal dengan aktiviti meluncur.
Semua tempat hiburan termasuk spa, bar karaoke dan pub telah ditutup sejak minggu lalu, namun perkhidmatan penting seperti pasar raya dan farmasi masih dibuka. – AFP