Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Sejumlah $87,550 wang zakat telah diagih-agihkan kepada 125 orang ketua keluarga dan 286 tanggungannya yang terdiri daripada Asnaf Fakir Miskin di kawasan Kampung Mata-Mata, Gadong, hari ini.
Majlis pengagihan wang zakat berkenaan berlangsung di Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, di mana penyerahannya telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisyam bin Haji Masri.
Kesemua wang berkenaan diambil daripada peruntukan kumpulan wang zakat asnaf fakir miskin. Di majlis itu, setiap ketua keluarga menerima sebanyak $300 manakala tanggungan mereka menerima sebanyak $175 setiap seorang.
Pada tahun ini, seramai 8,229 orang asnaf fakir miskin iaitu 2,794 orang ketua keluarga dan 5,505 orang tanggungan menerima agihan wang zakat menjelang Hari Raya Aidilfitri yang berjumlah $3,603,150 keseluruhannya dengan sebahagian besar daripada mereka menerima wang zakat melalui akaun bank masing-masing.
Dengan adanya agihan berkenaan, ia diharap akan dapat meringankan lagi sedikit sebanyak keperluan harian para penerima dan dengan harapan semoga para asnaf fakir miskin sekeluarga akan sentiasa taat menunaikan perintah Allah S.W.T dan menjauhi segala larangan-Nya.