Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 8 Jan – Lebih 90 orang murid Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara (PSN) Pengiran Mohd Yusof, Lorong Tiga di sini, telah menerima sumbangan keperluan sekolah sebagai usaha untuk membangkitkan semangat murid-murid berkenaan untuk terus belajar dengan tekun.
Sumbangan berupa beg sekolah yang dilengkapi dengan alat tulis dari Syarikat La Vida Berhad itu merupakan salah satu program kemasyarakatan syarikat selain hasrat mereka sebagai dorongan kepada murid-murid supaya terus berjaya dan ia merupakan program pertama mereka adakan di daerah ini.
Wakil Syarikat La Vida Berhad, Georgina memberitahu wartawan Media Permata, melalui program bantu kepada mereka yang memerlukan itu, mereka turut berharap untuk melihat murid-murid yang menerima memperolehi kejayaan dalam pembelajaran demi masa depan yang cerah.
Menurutnya, program bantuan itu turut disertai oleh beberapa penyumbang lain antaranya Lotus Light Charity Society dan Wan Fu Charity Fun serta penaja lainnya, dengan memberikan sumbangan berbentuk baucar pek beras yang disampaikan kepada ibu bapa dan penjaga yang berkenaan.
“Program kami ini, melibatkan penyertaan orang ramai dan kumpulan untuk menyumbang ke arah membantu mereka yang mempunyai pelbagai keperluan seperti kurang berkemampuan dan kalangan orang-orang kurang upaya,” katanya. Hadir sama pada majlis penyerahan keperluan sekolah itu ialah wakil-wakil dari Lutos Light Charity Society dan Wan Fu Charity Fun iaitu Yong Siew Kiew, Lee Soo Tiang, Siew Soo Lin dan Beh Yen Fang selain wakil-wakil dari Syarikat La Vida Berhad.
Turut hadir ialah Guru Besar sekolah tersebut, Dayang Hayati binti Haji Ismail yang juga telah merakamkan penghargaan kepada para penyumbang kerana sedikit sebanyak telah membantu menyuntikkan semangat kepada murid-murid yang memerlukan untuk kembali ke sesi persekolahan pada tahun baru ini dengan peralatan persekolahan yang baru.
“Kami berharap, dengan adanya sumbangan seperti ini, akan dapat meningkatkan lagi kesungguhan murid-murid dalam pembelajaran mereka,” tambahnya.