BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Pada 2016, klinik-klinik pesakit luar dewasa bagi perkhidmatan psikiatri di Negara Brunei Darussalam telah merekodkan hampir 9,000 konsultasi termasuk 346 rujukan baru.
Sementara itu, perkhidmatan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja pula merekodkan hampir 600 konsultasi dengan 40 kes baru.
Ini menunjukkan bahawa masalah kesihatan mental menjejaskan penduduk seluruh jangka hayat, daripada masa kanak-kanak hingga usia tua, ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
Yang Berhormat Dato mengongsikan perkara ini dalam perutusannya sempena Hari Kesihatan Sedunia yang mana tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah membangkitkan mengenai kepentingan mempromosikan kesihatan mental yang baik dengan memilih tema ‘Depression – let’s talk’.
Masalah-masalah mental biasa, seperti kemurungan dan kebimbangan menjejaskan hampir 10 peratus penduduk dunia. Di antara tahun 2005 dan 2015, jumlah orang yang mengalami masalah berkenaan meningkat sebanyak 18 peratus.
Kemurungan juga merupakan penyebab terbesar kehilangan upaya di seluruh dunia. Oleh itu, Yang Berhormat Dato berkata, adalah penting untuk memastikan bahawa masyarakat kini memahami kepentingan kesihatan mental yang baik dan dapat mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan merawat masalah-masalah kesihatan mental seperti kemurungan.
Yang Berhormat Dato dalam perutusannya juga telah menjelaskan bahawa kemurungan menyebabkan keseksaan mental dan boleh memberi kesan ke atas keupayaan seseorang menjalankan walaupun tugasan harian yang paling mudah.
Kemurungan lebih daripada sekadar ‘rasa sedih’, ia merupakan penyakit yang digambarkan dengan kesedihan berterusan dan hilang minat terhadap aktiviti-aktiviti yang biasa digemari ramai, disertakan dengan ketidakupayaan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti harian, sekurang-kurangnya dua minggu.
Orang yang mengalami kemurungan mungkin mempunyai simptom-simptom seperti kehilangan tenaga, perubahan nafsu makan, tidur lebih atau kurang, kebimbangan, penumpuan berkurangan, tidak dapat membuat keputusan, keresahan, rasa tidak berguna, bersalah atau putus asa dan terfikir untuk mencederakan diri sendiri atau bunuh diri.
Beliau berkata, penyakit ini boleh berlaku akibat isu-isu peribadi seperti masalah kewangan, pengangguran, kematian orang kesayangan, putus cinta, perhubungan yang kurang sokongan, buli, tekanan sebaya, keterasingan sosial, keadaan rumah yang tidak baik, penyakit fizikal, penyalahgunaan dadah dan penganiayaan fizikal atau seksual.
Kemurungan yang tidak dirawat juga menghalang mereka daripada bekerja dan terlibat dalam kehidupan keluarga dan komuniti. Ini akan mengehadkan sumbangan mereka kepada produktiviti organisasi mereka dan negara, tambah Yang Berhormat Dato.
Kemurungan boleh dicegah dan dirawat secara efektif sama ada dengan fisioterapi (terapi bercakap) atau perubatan antidepresan atau gabungan kedua-duanya.
Menurut beliau lagi, mengatasi stigma sosial dan ketakutan mendedahkan masalah kesihatan mental adalah penting untuk membolehkan pesakit mendapatkan bantuan dan rawatan yang diperlukan.
Menyatakan bahawa perkhidmatan psikiatri di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) merupakan penyedia utama perkhidmatan kesihatan mental di negara ini.
Perkhidmatan-perkhidmatan dalam masyarakat turut disediakan dalam bentuk klinik-klinik panas di pusat-pusat kesihatan utama, pemulihan hari, lawatan-lawatan sekolah dan lawatan ke rumah pesakit yang telah diperiksa dan memerlukan rawatan di rumah.
“Tiada kesihatan tanpa kesihatan mental! Jika anda fikir anda mempunyai kemurungan, bercakap dengan orang yang dipercayai. Kerap bercakap dengan rakan-rakan anda dan orang tersayang untuk memastikan anda mengekalkan rangkaian sokongan sosial yang sihat.
“Jaga kesihatan mental anda dengan mendapatkan rehat yang mencukupi, makan makanan sihat, kerap membuat senaman dan elakkan tabiat tidak baik seperti penyalahgunaan dadah. Beri perhatian kepada kesejahteraan mental anda. Ingat bahawa kesihatan baik tidak sekadar fizikal kekal cergas,” tegas Yang Berhormat Dato di akhir perutusannya itu.