Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 90,000 PATI dihantar pulang

    KOTA KINABALU, 8 Jan – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa berjaya menghantar pulang 93,315 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal dalam tempoh lima tahun sejak 2013.

    Pengarah MKN Sabah Datuk Rodzi Md Saad berkata daripada jumlah itu, angka terbesar adalah warga Filipina sebanyak 71,912 orang, diikuti Indonesia (20,264) dan 1,193 orang lagi adalah lain-lain kewarganegaraan.

    Katanya penghantaran pulang PATI ke negara asal mereka merupakan usaha berterusan kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional (BN) untuk memelihara keselamatan dan keamanan Sabah.

    “Untuk makluman, kita juga menghantar pulang sejumlah 564,087 PATI pelbagai kewarganegaraan sejak 1990 sehingga 1 Januari 2018.

    “Kerajaan sangat serius dalam menangani masalah PATI di Sabah. Ini untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan menjaga keselamatan dan keamanan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Gambar yang diambil daripada sebuah laman sesawang di Sabah menunjukkan sebahagian PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau pada 2 Oktober 2017. MKN Sabah dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa berjaya menghantar pulang 93,315 PATI ke negara asal dalam tempoh lima tahun sejak 2013.

    Rodzi berkata MKN Sabah akan mengoptimumkan semua sumber yang ada bagi melancarkan operasi secara berterusan dan besar-besaran dalam memburu PATI di seluruh negeri ini.

    Ini termasuk mengadakan operasi secara bersepadu dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara, yang banyak membantu MKN mencapai matlamatnya, kata beliau.

    “MKN turut menghargai usaha agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain seperti PDRM yang turut membuat operasi sendiri memburu PATI.

    “Ini jelas terbukti bahawa jabatan dan agensi kerajaan sangat bersungguh-sungguh dalam memastikan suasana selamat, tenteram dan selesa untuk rakyat di Sabah,” katanya.

    Ditanya mengenai perkembangan Pusat Tahanan Sementara (PTS) di negeri ini, Rodzi berkata 6,191 PATI pelbagai kewarganegaraan masih berada di empat PTS di seluruh negeri iaitu Manggatal, Papar, Sandakan dan Tawau.

    Sementara itu, Radzi berkata pembinaan PTS baharu di Tawau akan dimulakan dalam tempoh sebulan lagi, manakala cadangan awal untuk mewujudkan sebuah PTS di Lahad Datu pula dialihkan ke Sandakan.

    Katanya PTS Sandakan sedia ada akan digantikan dengan sebuah PTS baharu memuatkan kapasiti lebih besar dan urusan pencarian tapak sesuai untuk tujuan itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh setahun akan datang, dengan bantuan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

    Menurutnya, dengan pembinaan PTS baharu di Sandakan itu kelak, kapasiti PTS Sandakan akan ditingkatkan dua kali ganda daripada 1,700 kepada 3,400 orang pada satu masa.

    Sementara itu, Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) Mohd Zaki Harry Susanto berkata kesungguhan kerajaan dalam menangani isu PATI di Sabah jelas terbukti dengan peruntukan besar yang diberikan untuk menjayakan usaha itu.

    “ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) juga menerima peruntukan yang besar dalam Bajet 2018, sekali gus menunjukkan keikhlasan kerajaan pusat dalam memelihara kesejahteraan hidup masyarakat Sabah, khasnya di kawasan pantai timur.

    “Malah, kita juga boleh melihat kesungguhan pembanterasan PATI melalui kesinambungan pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di mana pelbagai agensi dilibatkan untuk melaksanakan operasi secara bersepadu di segenap penjuru negara,” katanya.

    Mohd Zaki turut mencadangkan agar Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) ditubuhkan di Sabah bagi memantapkan lagi usaha memelihara keselamatan dan keamanan di negeri ini dan berharap keutamaan diberikan kepada anak jati Sabah untuk menerajui agensi berkenaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda