Lebih AS$100 bilion diperlukan bangun semula Libya

TRIPOLI, 15 OGOS – Satu dekad setelah Libya mengalami kekacauan, beberapa negara melihat potensi projek infrastruktur bernilai berbilion-bilion dolar di negara kaya minyak itu jika kestabilan terjamin.

Ahli ekonomi, Kamal Mansouri mengharapkan usaha pembinaan semula Libya menjadi salah satu yang terbesar di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Dia menganggarkan ‘lebih dari AS$100 bilion’ diperlukan untuk membangun kembali Libya, yang telah dilanda keganasan dan pergolakan politik sejak diktator Muammar Gaddafi digulingkan dalam pemberontakan tahun 2011.

Bekas kuasa penjajah Itali, negara jiran Mesir dan Turki diberi kesempatan untuk mendapat bahagian dalam perjanjian pembinaan semula berkenaan.

Di ibu kota Tripoli, puluhan kren berkarat dan bangunan yang belum siap berada di pinggir laut, menyaksikan ratusan projek terbengkalai bernilai berbilion dolar yang dilancarkan antara tahun 2000 dan 2010.

Setelah penggulingan Gaddafi, Libya berada di bawah kawalan tentera dan tentera upahan asing yang kompleks dan sentiasa berubah menyokong pentadbiran saingan.

Gambar menunjukkan sebuah hotel yang terbengkalai, setelah pembinaannya terhenti pada tahun 2011 oleb sebab pergolakan di ibu negara Libya, Tripoli. Projek infrastruktur bernilai berbilion dolar diperlukan untuk membangun semula Libya. – AFP

Sementara Turki telah menyokong kerajaan Tripoli, orang kuat yang berpusat di timur, Khalifa Haftar, yang berperang tetapi gagal merebut ibu kota, telah mendapat sokongan dari Rusia, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir.

Tetapi gencatan senjata yang disokong oleh PBB telah disepakati pada Oktober lalu, membuka jalan untuk penubuhan pentadbiran sementara pada bulan Mac lepas.

Kerajaan baharu yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Abdulhamid Dbeibah ditugaskan untuk mengatur pemilihan presiden dan parlimen pada bulan Disember jika kerangka undang-undang disepakati tepat pada waktunya.

Menteri Luar Negeri Itali, Luigi Di Maio ditemani oleh ketua syarikat gergasi tenaga Itali, ENI berminat membuat kerjasama.

Pada bulan Mei, Dbeibah, seorang jurutera dan ahli perniagaan, mengunjungi Rom dan bersetuju dengan rakan sejawatnya dari Itali, Mario Draghi untuk memperluas kerjasama dalam projek tenaga. – AFP