Lebih AS$2 bilion melayang angkara COVID-19

MADRID, 3 MAC – Pasukan di dua liga utama Sepanyol mengalami kerugian pendapatan berjumlah 2.013 bilion euro (AS$2.43 bilion) bagi musim 2019-2020 dan 2020-2021 akibat impak pandemik COVID-19.

“Walaupun kurang dua bilion dalam pendapatan, jumlah yang besar, kelab-kelab masih mampu menanganinya,” kata Presiden La Liga, Javier Tebas.

Bagi kempen 2019-2020, kelab-kelab berkenaan dilaporkan meraih pendapatan 4.8 bilion euro, kurang 366 juta euro berbanding jangkaan 5.167 bilion euro.

Bagi musim yang sedang berlangsung, dianggarkan kerugian 1.647 bilion euro berdasarkan jangkaan awal 5.269 bilion euro, mewakili kerugian 31 peratus untuk dua liga tertinggi Sepanyol itu.

Bagaimanapun, rata-rata pasukan bertindak mengurangkan kos masing-masing sepanjang dua musim lalu, sekali gus mampu menyerap kerugian menjelang musim seterusnya.

“Hutang ini akan dilunaskan menjelang tiga hingga lima musim akan datang, jadi impak COVID-19 akan diimbangi pada kadar 150-250 juta euro setiap musim,” kata pengarah urusan La Liga Jose Guerra.

Dalam pada itu, Tebas menegaskan, di sebalik kerugian kelab di Sepanyol, masalah pembayaran gaji tidak timbul berbanding di liga utama lain.

“Liga lain mempunyai masalah membayar gaji. Di Itali, di Perancis dan di Liga Perdana Inggeris, beberapa kelab memohon bantuan kerajaan, kami tidak,” katanya, yang menjangkakan ia akan mengambil masa dua musim untuk mengembalikan pendapatan kelab itu kepada sebelum tahap pra-pandemik. – AFP

Javier berkata pasukan di dua liga utama Sepanyol mengalami kerugian pendapatan berjumlah AS$2.43 bilion bagi musim 2019-2020 dan 2020-2021 akibat impak pandemik COVID-19. – AFP