Lebih AS$8 bilion untuk vaksin

LONDON, 5 JUN – Kerajaan di seluruh dunia kelmarin memberikan peruntukkan sebanyak AS$8.8 bilion kepada organisasi vaksin global Gavi untuk membangunkan program imunisasi akibat koronavirus, sekali gus mendorong kerjasama global bagi memastikan vaksin COVID-19 dapat tersedia untuk semua.

Mesyuarat dalam talian mencapai sasaran untuk mengumpulkan AS$7.4 bilion bagi kegunaan penyediaan vaksin dengan kos yang jauh lebih rendah kepada 300 juta kanak-kanak di seluruh dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Lebih daripada 50 negara turut serta bersama individu lainnya seperti dermawan jutawan Bill Gates, di mana yayasannya memberikan peruntukan sebanyak AS$1.6 bilion.

Gavi juga melancarkan inisiatif baharu untuk membantu penyediaan vaksin COVID-19, meningkatkan produksi dan sokongan daripada negara-negara membangun yang kini telah mengumpul AS$567 juta.

“Bersama-sama kita untuk terus bangkit dan bekerjasama dalam hidup ini – untuk mencapai kemenangan memerangi penyakit ini,” kata Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu.

“Hari ini kita membuat pilihan untuk bersatu, membentuk jalan kerjasama global.”

Para saintis di seluruh dunia berlumba-lumba untuk mengembangkan dan menguji vaksin koronavirus, di mana Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengatakan bahawa ia mesti tersedia untuk semua orang.

“Vaksin ini perlu dilihat sebagai satu kebaikan kepada kehidupan sejagat, vaksin untuk penduduk dunia, di mana semakin banyak pemimpin dunia menyeru kepada penyediaan vaksin ini,” katanya dalam satu pesanan video.

Perlu ada ‘solidariti global untuk memastikan bahawa setiap orang, di mana sahaja, mempunyai akses.’ – AFP

Kerajaan di seluruh dunia kelmarin memberikan peruntukkan sebanyak AS$8.8 bilion kepada organisasi vaksin global Gavi untuk membantu program imunisasi akibat koronavirus. – AFP