Lebih banyak bantuan diterima

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Usaha Kementerian Kesihatan yang sedang menangani situasi jangkitan COVID-19 terus mendapat perhatian dan sokongan daripada pelbagai pihak di Negara Brunei Darussalam yang sama-sama tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka untuk sama-sama membendung wabak COVID-19.

Semangat perpaduan dan saling tolong-menolong dalam menghadapi krisis penularan wabak COVID-19, kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Republik Rakyat China telah menyumbangkan peralatan perubatan berjumlah keseluruhan $100,000 untuk Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Sumbangan daripada kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Republik Rakyat China disampaikan oleh Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah di majlis yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

Sumbangan peralatan perubatan berkenaan adalah sebanyak 10,000 keping N95 sugical face mask, 10,000 keping disposable surgeon face mask, 1,000 helai disposable isolation gown, 1,000 alat pelindung mata, 500 helai Jupiter Suit dan 250 alat non-contact forehead thermometer.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang atas sumbangan mereka itu.

Seterusnya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyerahkan sumbangan peralatan berkenaan kepada Kementerian Kesihatan yang diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar di majlis yang berlangsung di Kementerian Kesihatan.

Terdahulu PYT Yu Hong dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan dalam keadaan yang mencabar pada masa ini, penduduk Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang ingin untuk menunjukkan sokongan mereka kepada rakyat dan penduduk Brunei dengan menghulurkan bantuan ke arah usaha menangani penularan wabak COVID-19.

Ia merupakan sebagai tanda sokongan dan perpaduan di antara rakyat kedua-dua buah negara.

PYT Yu Hong turut menyatakan perasaan gembira dengan usaha kerajaan Brunei dalam mengambil tindakan pantas untuk mengawal penularan wabak COVID-19.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menerima sumbangan peralatan perubatan yang disampaikan oleh PYT Yu Hong. – Gambar oleh Rahwani Zahari