Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Lebih banyak bukti diperlukan dalam kes Prayut

    BANGKOK, 8 SEPT – Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini meminta lebih banyak bukti ketika ia mempertimbangkan sama ada untuk menamatkan penggantungan penggal jawatan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha.

    Bulan lalu, mahkamah telah menggantung tugas bekas ketua tentera itu yang mengambil alih pentadbiran selepas rampasan kuasa pada 2014, susulan kes yang dibawa oleh parti pembangkang dengan alasan Prayut sudah mencapai penghujung had penggal lapan tahun dan perlu meletak jawatan.

    Di bawah Perlembagaan Thailand 2017, Perdana Menteri tidak boleh berkhidmat melebihi lapan tahun, tetapi pada penggal pentadbiran yang diterajui Prayut, ia menjadi subjek pertikaian.

    Mahkamah Perlembagaan hari ini, berkata pihaknya memerlukan lebih banyak maklumat dan laporan daripada kumpulan rasmi yang merangka perlembagaan itu.

    Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan ketika ini mengambil alih jawatan perdana menteri sementara, manakala Prayut dibenarkan terus berkhidmat sebagai menteri pertahanan.

    Prayut Chan-O-Cha telah mengetuai rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan Ying-luck Shinawatra yang dipilih secara demokrasi dan kemudian beliau mengetuai kerajaan junta sehingga menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum pada tahun 2019.

    Penyokong pemimpin berusia 68 tahun itu berpendapat tempoh penggalnya bermula apabila Perlembagaan 2017 digubal atau selepas pilihan raya 2019.

    Sekiranya mahkamah bersetuju, Prayut secara teknikalnya boleh terus berkhidmat sehingga tahun 2025 atau 2027, jika beliau memenangi pilihan raya yang dijangka diadakan menjelang Mac tahun depan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...