Lebih banyak kelonggaran mulai 6 Julai ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Dengan mengambil kira situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang pada masa ini adalah dalam keadaan yang terkawal, pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan mengenai penambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial.

Kelonggaran langkah-langkah itu adalah memulakan aktiviti baharu ke tahap pertama pada 6 Julai ini bagi kolam renang, panggung wayang dan perkumpulan ramai, manakala tahap kedua bagi kelas berke-perluan khas, pusat penjagaan kanak-kanak, muzium, galeri dan perpustakaan serta kafe internet.

Peningkatan ke tahap ketiga pada 4 Julai adalah bagi sekolah-sekolah, institusi teknikal, vokasional dan pendidikan tinggi, sekolah tuisyen serta muizik.

Turut beralih ke tahap ketiga de-escalation bermula 6 Julai ialah masjid, surau, balai-balai ibadat, tempat-tempat ibadat agama, sekolah memandu, gim dan pusat kecergasan, padang golf, restoran, kafe dan medan makan serta gerai dan pasar.

Sementara itu, arked dan taman permainan dalam dewan (indoor playground) belum lagi dibenarkan untuk dibuka sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet pada sidang media menyentuh mengenai peringkat ketiga de-escalation di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial berkenaan diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa syarat-syarat pengurangan langkah-langkah sosial berkenaan ialah bagi perkumpulan ramai adalah dibenarkan tetapi terhad kepada keramaian tidak melebihi 50 orang sahaja di mana orang ramai boleh merujuk kepada syarat terperinci di dalam Garis panduan bagi Perkumpulan Ramai Tahap 1 yang dimuat naik ke laman sesawang Kementerian Kesihatan.

Bagi tempat-tempat ibadat lain selain masjid dan surau dibenarkan beroperasi pada kadar 80 peratus daripada kadar kapasiti biasa pada satu-satu masa dengan masih mengamalkan penjarakan fizikal di mana syarat-syarat lain dikekalkan sebagaimana arahan dan garis panduan yang telah dikeluarkan.

Bagi sekolah memandu, kelas-kelas boleh diadakan pada kadar 90 peratus daripada kapasiti biasa pada satu-satu masa di mana syarat-syarat lain dikekalkan sebagaimana arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Bagi kafe internet adalah dibenarkan untuk beroperasi pada kadar 60 peratus dari kadar kapasiti biasa pada satu-satu masa mengikut arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Yang Berhormat Dato seterusnya mengingatkan bahawa orang ramai adalah dikehendaki untuk mematuhi segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial berkenaan.

“Sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang telah dikeluarkan maka ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda kompaun sehingga $5,000 atau boleh didakwa ke mahkamah yang membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.”

Yang Berhormat Dato menekankan lagi bahawa Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi wabak di dalam negara serta di peringkat serantau dan global serta melaksanakan penilaian risiko secara berterusan bagi mempertimbangkan pengurangan langkah-langkah seterusnya.

“Jika situasi wabak kembali membimbangkan, Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk memperketatkan semula langkah-langkah penjarakan sosial yang perlu dilaksanakan untuk mengawal wabak tersebut.”