Lebih banyak masjid dibersihkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Beberapa buah lagi masjid di Daerah Brunei dan Muara telah dibersihkan dalam beberapa hari kebelakangan sebagai inisiatif bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membasmi COVID-19.

Kempen pembersihan telah dija-lankan di Masjid Salambigar, Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Masjid Kampung Setia, Masjid Lumapas, Masjid Junjungan, Masjid Pengkalan Batu, Masjid Panchor Murai, Masjid Kampung Kasat, Masjid Kampung Putat dan masjid di Kampung Tanah Jambu.

Seperti di masjid-masjid lalu, pembersihan dijalankan menggunakan cecair membasmi kuman untuk mengelakkan penularan virus berkenaan demi keselamatan dan keselesaan
bersama.

Setakat ini, aktiviti-aktiviti masjid di Negara Brunei Darussalam masih ditiadakan sebagai usaha untuk membendung dan mencegah penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Ke arah itu juga, beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat turut memasang dan menyediakan cecair pembasmi kuman sebagai persiapan mencegah menularkan virus Covid-19.

Cecair pembasmi kuman disediakan di setiap pintu masjid untuk kegunaan para jemaah apabila masjid-masjid, surau dan balai ibadat dibukakan nanti.

Dengan itu, para jemaah yang akan menunaikan solat fardu dinasihatkan agar sentiasa menjaga tahap kebersihan yang tinggi dan tidak datang ke masjid jika mengalami gejala-gejala seperti selesema, demam atau batuk.

Barisan petugas yang menjalankan pembersihan di masjid-masjid.
Petugas membersihkan kawasan luar salah sebuah masjid.