Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih banyak taman dalam kampung akan dibina

    BAHAU – Seperti tidak lengkap setiap kali penulis pulang ke kampung sekiranya tidak singgah ke Bandar Bahau yang jaraknya hanya lkira-kira enam kilometer dari Kampung Lonek. Bahau yang dahulunya hanya sebuah pekan kecil dengan hanya dibarisi empat bangunan kedai kini pesat membangun sebagai pusat perniagaan.

    Jika ditanya orang lama, nama Bahau pernah terpalit imej buruk apabila mendapat jolokan mini Hatyai terutama sekitar tahun 1980-an. Ketika itu, Bahau yang dilihat tidak ubah seperti pekan mati terutama menjelang senja hakikatnya menjadi tempat yang dianggap syurga dunia bagi lelaki yang mencari hiburan waktu malam.

    Kelab-kelab dangdut dan aktiviti pelacuran yang banyak terdapat di sini terutama di sekitar Taman Sornam bukan sahaja dikunjungi orang tempatan tetapi juga orang luar hingga ke Segamat, Johor dan Rompin, Pahang terutama pada malam minggu. Sisi hitam wajah Bahau itu semakin luput setelah kelab-kelab malam berkenaan ditutup dan tidak beroperasi lagi.

    Kini Bahau hanya dihidupkan dengan aktiviti perniagaan yang menjadi tumpuan masyarakat mencari rezeki dan barangan keperluan. Selain pasar raya yang beroperasi sehingga pukul 10 malam, banyak gerai makan yang dibuka hingga tengah malam menjadikan suasana malam di Bahau lebih meriah.

    Pembangunan pesat Bahau

    Jika dibandingkan Bahau 20 tahun lepas dengan sekarang, sangat jauh berbeza terutama bangunan-bangunan perniagaan baharu yang banyak dibina sejak beberapa tahun kebelakangan ini hingga menjadikan kawasan di sini semakin padat.

    Ketua Kampung Bukit Laka, Abu Zarin Bahali ketika ditemubual Bernama baru-baru ini. – Bernama
    Ketua Kampung Bukit Laka, Abu Zarin Bahali ketika ditemubual Bernama baru-baru ini. – Bernama
    Pembinaan taman-taman baharu sedikit sebanyak melenyapkan rumah-rumah tradisi yang sebelum ini boleh dilihat dengan pelbagai warna dan bentuk menarik yang menggambarkan identiti pemiliknya. – Bernama
    Pembinaan taman-taman baharu sedikit sebanyak melenyapkan rumah-rumah tradisi yang sebelum ini boleh dilihat dengan pelbagai warna dan bentuk menarik yang menggambarkan identiti pemiliknya. – Bernama

    Nilai pasaran tanah yang tinggi dengan ruang tanah yang terhad menyebabkan banyak pemaju membuka taman-taman perumahan baharu di luar dari kawasan bandar termasuk di kawasan-kawasan kampung yang telah ditetapkan sebagai zon-zon perumahan oleh Majlis Daerah Jempol (MDJL). Untuk satu ekar (kira-kira 0.4 hektar) tanah di Bahau contohnya kini nilai pasaran kira-kira RM870,000 dan di Bandar Seri Jempol pula kira-kira RM130,680.

    Persempadanan mukim, pekan dan bandar yang dilakukan Pejabat Tanah Daerah Jempol telah memperlihatkan dengan ketara perbezaan-perbezaan nilai tanah di daerah ini. Terdapat 10 kawasan di dalam pelan sempadan iaitu Bahau-Mahsan, Bandar Seri Jempol-Feldajaya, Pekan Batu Kikir, Pekan Rompin, Kuala Jempol, Kampung Bukit Perah, Serting Ulu, Lui, Rompin, dan Jelai.

    “Setiap kawasan ini nilai pasaran tanahnya berbeza-beza. Sudah tentu di kawasan bandar seperti Bahau dan Bandar IOI di Mahsan nilainya lebih tinggi berbanding tanah di kawasan lain, menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol, Zazali Salehudin.

    Nilai tanah tinggi

    Nilai pasaran tanah yang tinggi menjadi sebab utama kos harga rumah meningkat di Jempol terutama sejak lima tahun kebelakangan ini. Beliau berkata MDJL mahupun kerajaan negeri tidak boleh untuk mengawal kenaikan berkenaan.

    Apa yang kerajaan negeri lakukan kini melalui Dasar Perumahan Negeri Sembilan sejak 2015 dengan mewajibkan semua pemaju perumahan membina 50 peratus daripada jumlah unit yang hendak dibina dalam bentuk kategori rumah mampu milik. “Kita tidak boleh buat apa sebab memang harga tanah mahal yang menyebabkan harga rumah meningkat walaupun kawasan kampung. Tambahan apabila banyak permintaan taman-taman di kampung, jadi nilai pasaran tanah sudah tentu lebih tinggi.

    “Di Jempol kita mengikut dasar perumahan yang ditetapkan terutama projek perumahan besar seperti Bandar IOI di Mahsan. Tetapi untuk taman perumahan kecil seperti di kampung-kampung tidak ditetapkan begitu sebab unitnya sedikit,” katanya. Sehingga kini terdapat 13 buah taman perumahan yang dibina di kawasan kampung di daerah Jempol sementara sembilan lagi permohonan baharu sedang diproses untuk kelulusan,

    Kebanyakan tanah kawasan kampung yang dibina taman perumahan ini diusahakan secara pemilikan bersama antara pemaju dengan pemilk tanah melalui surat perjanjian wakil kuasa. “Sebagai contoh projek di atas tanah berkeluasan 3 ekar (1.21 hektar) yang boleh menempatkan 20 hingga 29 unit rumah, di mana mereka akan memperoleh 11 hingga 13 peratus daripada jumlah jualan usahasama rumah yang diperoleh,” katanya.

    Salah sebuah taman perumahan yang dalam pembinaan yang dibina bersebelahan kawasan kampung di Jempol. – Bernama
    Salah sebuah taman perumahan yang dalam pembinaan yang dibina bersebelahan kawasan kampung di Jempol. – Bernama

    Jempol bakal naik taraf ke perbandaran

    ?????Berkeluasan 149,087.66 hektar menjadikan daerah Jempol daerah paling besar iaitu kira-kira 20.8 peratus daripada keluasan keseluruhan Negeri Sembilan. Secara rasmi menjadi sebuah daerah pada 1 Jan, 1980, Jempol kini mempunyai penduduk kira-kira 150,000 orang, peningkatan sebanyak tiga peratus setiap tahun sejak bancian terakhir dibuat pada 2010 dengan jumlah penduduk ketika itu 112,000 orang.

    Pertambahan penduduk ini disebabkan faktor pertambahan taman-taman perumahan baharu terutama di kawasan kampung dan jumlah itu dijangka terus bertambah dengan pembukaan lebih banyak taman perumahan di bandar baharu di Bandar IOI , Mahsan.

    Ini akan mempercepatkan daerah Jempol menjadi perbandaran sepertimana yang sedang diusahakan kerana prasyarat untuk menjadi sebuah perbandaran mesti mempunyai penduduk melebihi 150,000 orang, katanya. Secara keseluruhan terdapat 108 buah taman perumahan dan 59 buah kampung tradisional di daerah Jempol selain lima buah kampung tersusun dan 13 buah kampung baru Cina.

    “Kita jangkakan lebih banyak taman perumahan baharu di kawasan kampung akan dibina selepas ini. Banyak tanah kosong yang masih boleh dibangunkan oleh tuan tanah dengan kerjasama pihak pemaju. “Pihak majlis daerah tidak ada halangan sekiranya tanah yang ingin dibangunkan itu merupakan zon kediaman,” katanya.

    Tukar status

    Majlis daerah telah membuat pengubahan zoning melalui RTD Jempol 2030 dengan menetapkan zon-zon untuk perumahan, perniagaan, industri dan kemudahan masyarakat. Ini akan memudahkan pembangunan secara lebih terancang selain tidak akan mengganggu kampung-kampung tradisi, tanah pertaniah terutama bagi penanaman padi di kawasan kampung.

    Beberapa kawasan terutama di tepi jalan utama antaranya di Jalan Kampung Padang Lebar, Simpang Bahau, Serting Tengah telah dizonkan sebagai kawasan kediaman walaupun di dalam geran ialah tanah pertanian.

    Sekiranya pemilik tanah ingin membangunkan kawasan itu kepada kediaman, mereka perlu menukar dahulu status tanah daripada pertanian kepada kediaman sebelum memajukannya.

    “Kalau tanah pertanian ditukar kepada kediaman, cukai lebih mahal dan banyaklah hasil yang diperoleh MDJL.

    “Pembinaan taman perumahan di kawasan kampung lebih menjimatkan tanah apabila ia boleh didiami lebih ramai orang berbanding dengan tanah keluasan yang sama yang hanya didiami oleh sebuah keluarga di rumah tradisi,” katanya yang berharap Daerah Jempol akan menjadi sebuah daerah moden dengan jurang pembangunan yang tidak jauh daripada bandar-bandar besar. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda