‘Lebih cepat, lebih baik’

BEIJING, 5 Dis – China hari ini menyatakan bahawa ia akan meneruskan rundingan perdagangan bersama Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 90 hari akan datang dan berjanji akan melaksanakan isu tertentu yang telahpun dipersetujui. Kementerian perdagangan berkata rundingan antara presiden Xi Jinping dan Donald Trump pada hujung minggu telah mencatat ‘kejayaan’ dan ia ‘yakin’ tentang pelaksanaan perjanjian mereka.

“Kumpulan ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak akan meneruskan rundingan dalam masa 90 hari sejajar dengan jadual masa dan rangka tindakan yang jelas,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

“China akan bermula dengan pelaksanaan perkara khusus di mana persetujuan telahpun dicapai, lebih cepat lebih baik,” katanya, tanpa memberikan butiran lanjut.

Trump dan Xi bersetuju mengenai perdamaian perniagaan pada sidang kemuncak G20 di Argentina pada Sabtu, menangguhkan tarif baharu dan memberikan perunding 90 hari untuk mencapai satu persetujuan.

Kenyataan kementerian perdagangan pada hari ini adalah pengakuan awam pertama kerajaan China tentang jadual masa 90 hari itu.

Rumah Putih berkata China bersetuju untuk membeli sejumlah ‘besar’ produk pertanian, tenaga, industri dan produk lain daripada AS untuk mengurangkan jurang perniagaan yang semakin besar. – AFP

Presiden Xi Jinping semasa mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Donald Trump tempoh hari. China akan meneruskan rundingan perdagangan bersama Amerika Syarikat dalam tempoh 90 hari akan datang. – AP