Lebih ceria dengan penutup mulut dan hidung ‘senyuman’

LYON, 7 OGOS – Tatkala semakin ramai orang memakai penutup mulut dan hidung di khalayak ramai disebabkan pandemik koronavirus, senyuman semakin lenyap daripada kehidupan orang awam, justeru masalah tersebut telah diatasi oleh firma Perancis dengan mencetak senyuman pada penutup mulut dan hidung yang dijual oleh mereka.

Firma Tcheezebox yang berpangkalan berhampiran Lyon di timur Perancis menyasarkan syarikat yang ingin ‘memperadabkan hubungan mereka’ dengan pelanggan dengan meminta pekerja mereka memakai penutup mulut dan hidung senyuman.

“Kami melancarkannya pada awal sekatan dan syarikat tidak menerimanya tetapi sekarang mereka mula sedar kita mesti hidup dengan penutup mulut dan hidung dan terdapatnya lebih banyak permintaan,” kata Ludovic Bonhomme, pengasas syarikat.

Beliau berkata penutup mulut dan hidung yang boleh dicuci itu nampaknya mempunyai kesan sampingan. “Saya keluar membeli-belah memakainya dan orang senyum pada saya,” kata Bonhamme. – AFP

Ludovic Bonhomme (kiri) dan Margaut Jean daripada Tcheezebox, bergambar bersama penutup mulut dan hidung senyuman di Caluire-et-Cuire, Lyon, tenggara Perancis. – AFP