Lebih ramai jemaah dibenar solat di masjid, surau Sarawak

KUCHING, 15 JUN – Had jumlah jemaah untuk solat lima waktu di masjid dan surau di Sarawak dibenarkan ditambah kepada 40 hingga 80 orang mulai esok manakala bagi solat Jumaat pula dinaikkan kepada 80 hingga 250 orang mulai 19 Jun, bergantung kepada kategori masjid atau surau.

Setiausaha Majlis Islam Sarawak (MIS) Khalidi Ibrahim berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku di negeri ini sejak MIS membenarkan solat jemaah di masjid dan surau pada 8 Jun lepas.

“(Para jemaah masih perlu) mematuhi garis panduan pengimarahan masjid/surau semasa dan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negeri yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan ketetapan baharu itu, solat lima waktu harian di Masjid Negeri Sarawak dibenarkan disertai sehingga 80 jemaah berbanding 40 orang sebelum ini, sementara solat Jumaat pula sehingga 250 orang berbanding 100 orang.

Masjid-masjid bahagian yang sebelum ini dibenarkan sehingga 40 orang untuk solat jemaah lima waktu kini boleh dilakukan sehingga 80 orang dan untuk solat Jumaat pula ditambah daripada 50 jemaah kepada 150 orang.

Bagi masjid-masjid daerah/daerah kecil, untuk solat lima waktu dibenarkan sehingga 80 orang dan solat Jumaat pula dibenarkan sehingga 125 orang manakala untuk masjid kariah seramai 100 orang. – Bernama