Lebih ramai mangsa bom Hiroshima diiktiraf

TOKYO, 29 JULAI – Mahkamah Hiroshima hari ini memutuskan perkara yang jarang dilakukan apabila memperluaskan senarai kumpulan yang terselamat daripada serangan bom atom, dengan turut memasukkan mangsa ‘hujan hitam’ radioaktif.

Keputusan itu dibuat 75 tahun selepas serangan nuklear itu oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Jepun ketika penghujung Perang Dunia Kedua.

Mahkamah Daerah Hiroshima memaklumkan, semua 84 plaintif yang berusia antara 70 hingga 90an, perlu diberikan manfaat perubatan yang diberikan kepada mangsa serangan itu, yang disebut ‘hibakusha’ oleh penduduk tempatan.

Selepas perang itu, kerajaan pusat meletakkan beberapa kawasan sebagai teruk terkesan dengan pengeboman itu, dan diberikan penjagaan perubatan percuma pada penduduk di situ ketika itu.

Plaintif pula berada di luar zon terbabit, namun mereka dibasahi ‘hujan hitam’ yang mengandungi radioaktif susulan serangan pada 6 Ogos 1945 itu, dan menegaskan kesihatan mereka turut terjejas sama seperti individu yang berada dalam kawasan yang ditetapkan kerajaan.

“Tiada perkara yang tidak rasional dalam kenyataan penduduk yang memaklumkan mereka dibasahi hujan hitam.

“Dokumen perubatan menunjukkan penduduk itu berdepan penyakit yang dipercayai berkaitan dengan kesan bom atom, yang memenuhi syarat perundangan bagi hibakusha,” kata hakim, Yoshiyuki Takashima, seperti dilaporkan NHK.

Selepas keputusan itu diumumkan, seorang lelaki keluar dari mahkamah sambil mengeluarkan kain rentang bertulis ‘kejayaan penuh’, ketika plaintif dan penyokong mereka meraikan dengan penuh. Setakat Mac lalu, kerajaan pusat mengkategorikan 136,682 individu sebagai hibakusha, termasuk mereka yang tinggal di Nagasaki, yang menjadi sasaran bom atom kedua dan yang terakhir pada 9 Ogos 1945. – AFP