Lebih ramai pegawai berkaliber diperlukan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Meskipun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menyaksikan peningkatan dalam bilangan pegawai kadet yang ditauliahkan, namun ia belum lagi dianggap mencukupi, malah ABDB masih memerlukan lebih ramai lagi pegawai tentera yang berkaliber.

Sehubungan dengan itu, Jabatanarah Keanggotaan selaku ownership kepada Struktur Perkembangan Kerjaya (SPK) dan Akademi Pertahanan serta Institut Latihan ABDB disarankan berganding bahu secara holistik dalam memantapkan lagi sistem pengambilan dan kaedah latihan bakal-bakal pegawai tentera ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyarankan perkara itu ketika berkenan bertitah pada Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan ke-18, Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan ABDB, hari ini yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan ABDB, Kampung Tanah Jambu.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

“Dalam usianya mencapai 10 tahun, Akademi Pertahanan telah mengalami beberapa perkembangan signifikan, antaranya Universiti Brunei Darussalam turut terlibat selaku academic provider kepada kursus maktab turus,” titah Baginda.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Anugerah Pedang Kehormatan kepada Awang Wan Muhammad Hijazi bin Haji Yusof.
Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah. – Gambar oleh Muiz Matdani

Baginda melahirkan kegembiraan atas peningkatan bilangan seramai 73 pegawai kadet yang ditauliahkan berbanding 57 orang pada tahun lalu.

“Semenjak satu dekad penubuhannya, Sekolah Pegawai Kadet (OCS) Akademi Pertahanan, ABDB telah berjaya melahirkan seramai 523 pegawai tentera yang bertauliah. Majoriti daripada mereka ini, ada yang telah memegang jawatan-jawatan penting di dalam unit-unit ABDB, di samping ada juga yang telah berkhidmat di OCS sebagai intake commander,” titah Baginda lagi.

Baginda turut berharap ABDB akan terus melahirkan pegawai-pegawai tentera yang profesional, berdisiplin dan berkualiti.

Baginda Sultan turut menekankan dalam menghadapi persekitaran penuh kompleks dan cepat berubah, ABDB juga disarankan proaktif dalam bersama-sama mencapai Wawasan Brunei 2035 dengan melengkapkan setiap pegawai tentera dalam Personal Mastery in Military Leadership, Command and Management di samping perlu memiliki daya pemikiran dan kepimpinan.

Manakala ketika menyentuh mengenai usaha meningkatkan imej dan kredibiliti, Baginda turut menekankan agar OCS meneruskan program-program latihan bersama, lawatan dan pertukaran pegawai kadet dengan sekolah pegawai kadet di luar negara kerana segala pengalaman yang diraih semasa latihan pada program lawatan dan pertukaran berkenaan akan mampu menjadi pemangkin memantapkan lagi kualiti dan jati diri mereka sebagai pegawai tentera.

“Selain itu, ia juga berguna untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme dan kualiti seorang pegawai tentera supaya dapat setaraf dengan piawaian angkatan tentera negara-negara sahabat di rantau ini di samping mengukuhkan lagi hubungan diplomasi pertahanan,” tegas Baginda.

Baginda mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan para pegawai kadet menamatkan latihan selama 12 bulan dengan kecekalan dan semangat gigih mereka menjalani kursus.

Baginda juga mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga mereka atas dorongan dan sokongan padu kepada anak-anak yang berperanan selaku perwira-perwira bangsa yang gagah berani.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Akademi Pertahanan khususnya komandan, pegawai pemerintah, intake commander, color sargeant dan semua jurulatih serta staf OCS atas dedikasi dan penat lelah dalam menjayakan latihan serta Upacara Sovereign’s Parade hari ini.