Lebih ramai tentera dikerah

MANOKWARI, INDONESIA, 21 OGOS – Wilayah Papua, Indonesia dilanda pergolakan terbaharu hari ini dengan lebih 1,000 pegawai keselamatan dikerah ke rantau bergolak itu selepas rusuhan ganas menyaksikan bangunan dibakar manakala penunjuk perasaan dan polis bertempur di jalanan.

Jakarta menggesa ketenangan di wilayah paling timur itu – tempat pemberontakan terhadap pemerintahan Indonesia sejak berdekad lalu – susulan keganasan yang dicetuskan oleh penahanan sejumlah penuntut Papua minggu lalu.

Hari ini, kira-kira 1,000 individu merusuh di jalan bandar Timika, dengan wartawan AFP menyaksikan sebilangan pembantah bertindak membaling batu ke tingkap bangunan parlimen ketika mereka cuba merobohkan pagarnya.

Kumpulan perusuh yang melontar batu ke kedai dan rumah mula bersurai setelah polis melepaskan tembakan amaran.

Ratusan pembantah juga berarak ke jalan-jalan bandar Sorong dan di bandar Fakfak di pinggir barat pulau itu, yang terpisah antara Indonesia dan negeri bebas Papua New Guinea.

Pihak berkuasa sedang memburu lebih 250 banduan yang melarikan diri dari penjara di Sorong yang dibakar semasa rusuhan.

Beberapa pegawai polis juga cedera, kata pihak berkuasa dan ada beberapa laporan tidak disahkan mengatakan tentang para pembantah yang cedera. Tiada laporan kematian dilaporkan.

Sementara itu, kerajaan dan pihak berkuasa Papua berkata kira-kira 1,200 polis dan askar tambahan telah dikerahkan ke Manokwari dan Sorong.

Namun pegawai keselamatan tidak dilengkapi peluru hidup dan situasi tersebut ‘secara amnya dapat dikawal’, kata jurucakap polis negara, Muhammad Iqbal hari ini.

“Ia adalah peraturan standard jika sesuatu kejadian memuncak (pihak berkuasa) akan mengerahkan pegawai tambahan,” tambahnya. Pemimpin Indonesia, Joko Widodo, yang berjanji untuk menyiasat insiden Surabaya itu, dijangka akan melawat Papua minggu depan. – AFP