Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Lebih ramai wanita Afghanistan dijangka kembali bekerja

    KABUL – “Wanita aktif dalam sektor kesihatan dan bekerja di hospital, sama seperti dahulu. Saya pasti wanita akan kembali bekerja dalam bidang lain termasuk ekonomi, undang-undang dan kesusasteraan tidak lama lagi,” kata Malalai Rahim Faizi.

    Sebagai pakar sakit puan, Faizi dilantik sebagai ketua doktor hospital bersalin terbesar di Afghanistan beberapa minggu lalu. Beliau adalah doktor wanita pertama dilantik ke jawatan sedemikian sejak pengambilalihan Taliban pada Ogos tahun lalu.

    Selepas pengunduran tentera yang diketuai Amerika Syarikat pada akhir Ogos 2021, pentadbiran telah mengarahkan pekerja kerajaan wanita untuk tinggal di rumah, kecuali mereka yang berada dalam sektor kesihatan dan beberapa guru. Universiti awam ditutup, dan kanak-kanak perempuan tidak boleh bersekolah melebihi gred tujuh.

    Kolej dan universiti dijadualkan dibuka semula tidak lama lagi, dan beberapa sumber telah melaporkan kanak-kanak perempuan akan dapat kekal di sekolah sehingga gred 12 apabila tahun persekolahan baharu bermula pada bulan Mac.

    Tiada apa yang diperkatakan tentang jika atau bila penjawat awam wanita boleh kembali bekerja. Wanita yang bekerja untuk kerajaan terdahulu di jabatan dalam negeri dan pertahanan, dan beberapa yang bekerja di kementerian luar, mesti tinggal di rumah sehingga diberitahu kelak.

    Malalai Rahim Faizi ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Hospital Malalai Zizhanton di Kabul, Afghanistan. – Xinhua
    Malalai Rahim Faizi (dua dari kanan) kelihatan melawat pesakit. – Xinhua

    Menurut pegawai, kakitangan wanita bekas kerajaan terus menerima gaji mereka semasa berada di rumah.

    “Saya optimistik. Kira-kira 95 peratus kakitangan perubatan kami adalah wanita dan mereka terus bekerja seperti biasa di bawah pentadbiran baharu. Taliban tidak membuat sebarang perubahan,” kata Faizi kepada Xinhua. “Hospital Malalai Zizhanton mempunyai 350 katil, semuanya disediakan tanpa bayaran. Kira-kira 2,500 ibu bersalin di sini setiap bulan.

    “Saya berbesar hati kerana pihak berkuasa memberi kepercayaan kepada saya untuk berkhidmat kepada rakyat saya pada masa genting ini,” tambahnya.

    Gaji di hospital itu telah dibayar oleh Jawatankuasa Bulan Sabit Merah Antarabangsa (ICRC) sejak dua bulan lalu.

    ICRC juga menyediakan ubat-ubatan dan peralatan perubatan kepada sembilan hospital lain di Kabul.

    “Adalah lumrah untuk menghadapi masalah kerana kerajaan telah berubah. Ia adalah perubahan politik yang besar, tetapi masalah itu beransur-ansur diselesaikan,” kata Faizi.

    “Saya berharap masa depan akan lebih baik. Pakar, pekerja mahir dan profesional, terutamanya wanita, harus kembali bekerja dalam sektor berbeza untuk menggerakkan negara ke arah pembangunan dan kemakmuran,” tambahnya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...