Lebih RM1 bilion diperuntukkan naik taraf sekolah di Sabah

KUALA LUMPUR, 27 JULAI – Sejumlah RM1.252 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di 237 sekolah seluruh Sabah dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata bagi tempoh 2017 hingga 2019, sejumlah RM630.7 juta telah disalurkan untuk membiayai projek naik taraf sekolah manakala bagi tahun ini, sejumlah RM621.2 juta diperuntukkan bagi tujuan sama.

Mengenai status pelaksanaan projek di Sabah setakat 20 Julai, beliau berkata sejumlah 150 projek telah siap dengan 129 projek telah dikeluarkan ‘Certificate of Practical Compliance’ (CPC) atau ‘Certificate of Partial Occupation’ (CPO). “Sejumlah 21 projek lagi dalam mendapatkan proses CPO, tiga projek masih lagi dalam pembinaan, 19 dalam proses perolehan dan 65 projek lagi dalam fasa prabina,” katanya pada sesi soal jawab bagi menjawab pertanyaan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) mengenai peruntukan kepada sekolah-sekolah daif di Sabah.

Di samping itu, Radzi berkata Kementerian Pendidikan turut menerima peruntukan sejumlah RM410 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 untuk kerja naik taraf, baik pulih dan menyelenggarakan kemudahan di sekolah. – Bernama