Lebih RM1 bilion naik taraf, bangunkan sekolah daif

KUALA LUMPUR, 16 JULAI – Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM1.252 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020) bagi menaik taraf dan membangunkan semula bangunan sekolah yang daif di seluruh Sabah.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata peruntukan dalam RMK11 itu adalah untuk membiayai kerja-kerja naik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di 237 sekolah di Sabah, manakala baki bangunan daif lain akan dinaik taraf di bawah RMK12, tertakluk kepada keupayaan kewangan kerajaan.

“Kementerian juga menggunakan peruntukan daripada Program Khusus Penyelenggaraan Institusi Pendidikan untuk tujuan penyelenggaraan, berdasarkan keutamaan mengikut skala impak.

“Bagi tahun 2020, peruntukan penyelenggaraan bagi negeri Sabah adalah sebanyak RM39.5 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. – Bernama