Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lebih RM45 juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib

    KUALA LUMPUR, 13 JUN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sejumlah RM45.8 juta telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi AmBank Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) antara Oktober dan Disember 2014.

    Naib presiden Jabatan Operasi Perbendaharaan di Ambank (M) Berhad, Salmah Daman Huri, 50, ketika membacakan kenyataan saksinya berkata bahawa dana itu, berjumlah GBP8,706,021.92 juta (RM45,837,485.70 – kadar penukaran semasa) dipindahkan ke akaun bekas perdana menteri itu yang berakhir dengan nombor 880 dalam lima transaksi.

    Vista Equity ialah ‘shell company’ yang dimiliki dan dikawal oleh Eric Tan, rakan amanah ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    “Sejumlah RM30,032,250 telah dipindahkan pada 23 Okt 2014; RM3,624,473.70 dan RM11,567.57 masing-masing dipindahkan pada 24 dan 26 Nov.

    “Dua transaksi lain RM5,360,065 dan RM6,809,129.43 berlaku pada 10 dan 18 Disember,” kata saksi pendakwaan ke-23 itu semasa perbicaraan bekas perdana menteri berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Salmah mengesahkan lima dokumen, yang kesemuanya menunjukkan pemindahan daripada Vista Equity melalui Amicorp Bank dan Trust Ltd, Barbados melalui Standard Chartered Bank, London sebelum ia sampai ke akaun ‘AmPrivate Banking-1MY’ sama, yang berakhir dengan 880.

    Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib Wan Aizuddin Wan Mohammed, Salmah mengakui bahawa Bank Negara atau AmBank tidak menunjukkan apa-apa tanda amaran (red flag) semasa semua urus niaga itu berlangsung. – Bernama

    Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kelmarin, bagi sambung perbicaraan berhubung kes 1MDB yang dihadapinya. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...