Lebih sebulan tiada jangkitan baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Kementerian Kesihatan memaklumkan tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang, manakala jumlah kes yang telah sembuh ialah seramai 138 orang.

“Pada masa ini, hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan. Beliau masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya lagi, pada masa ini, seramai 88 orang sedang menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, manakala seramai 2,735 orang telah menamatkan tempoh kuarantin dan berada dalam keadaan yang baik.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 415 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 23,708 ujian,” tambahnya.

Berhubung aplikasi BruHealth, setakat ini seramai 368,599 ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut. Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 7,063 telah mendaftar kepada aplikasi BruHealth.

Tambahnya, sebanyak 2,033 premis perniagaan telah memuat turun aplikasi PremiseScan yang mana kemudahan ini adalah dikhaskan bagi kegunaan orang ramai yang tidak mempunyai telefon bimbit untuk masuk ke premis berkenaan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa berucap pada sidang media berkenaan.