Lebih sejam terperangkap di bawah kren terbalik

KUALA LUMPUR, 5 OGOS – Seorang lelaki berusia 28 tahun diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat selepas terperangkap lebih satu jam di bawah kren seberat  26 tan yang terbalik, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian itu berlaku berhampiran Lebuh raya Sungai Besi-Ulu Kelang di Cheras.

“Pada 7:54 pagi, kami menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 dan segera menggerakkan unit penyelamat dari Balai Bomba Cheras dan Balai Bomba Bandar Tun Razak dengan kekuatan keseluruhan 21 anggota ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Komander Operasi Kanan JBPM Imam Bukhari Susami berkata, pihaknya mendapati sebuah kren seberat 26 tan telah terbalik mengakibatkan pemandu kren itu terperangkap di bawahnya. – Bernama