Lebih separuh kes aktif dikuarantin di rumah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Lebih separuh daripada kes-kes aktif yang ada di negara ini masih lagi berada di luar iaitu di rumah masing-masing dan belum lagi dibawa ke pusat-pusat pengasingan yang disediakan di negara ini.

“Oleh itu, adalah mustahak bagi para pesakit yang masih aktif untuk membuat pengasingan diri di rumah masing-masing, manakala mereka yang mengalami gejala yang semakin teruk untuk terus menghubungi talian kecemasan 991,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.

Dalam beberapa hari akan datang, tambahnya, para pesakit aktif COVID-19 ini akan dibawa ke pusat-pusat penga-singan yang dijangka akan siap dibuat di Mahad Islam Brunei di Tutong dan di Lumut.

Buat masa ini pihak Kementerian Kesihatan sedang berusaha dan menguruskan tempat-tempat pengasingan lainnya bagi membawa para pesakit aktif ke pusat-pusat pengasingan tersebut.

Yang Berhormat Dato turut menambah lebih 80 peratus antara pesakit aktif yang belum dibawa ke pusat pengasingan tersebut tidak memiliki sebarang gejala.

Selain itu, beliau menasihatkan kepada para pesakit aktif berkenaan supaya tidak berasa cemas jika mempunyai gejala ringan, mereka seharusnya tetap berada di rumah dan membuat pengasingan diri selain menjaga tahap kesihatan diri seperti dengan meminum air secukupnya, mengambil makanan yang sihat dan yang paling penting, jika demam, mereka disarankan untuk mengambil ubat, vitamin dan sebagainya.

Oleh itu, bagi mereka yang meng-hubungi untuk meminta diambil di rumah mereka mestilah benar-benar dalam keadaan yang kurang sihat disebabkan pada masa ini tempat pengasingan adalah dalam keadaan yang terhad dan keutamaan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan seperti mengalami batuk yang teruk, mempunyai kesukaran bernafas dan yang seumpamanya.

Orang ramai adalah diharapkan dapat menggunakan perkhidmatan dengan menghubungi talian 991 dengan bijaksana, jelasnya lagi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media situasi COVID-19 kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani