Thursday, September 19, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih separuh penduduk Sudan hadapi kebuluran akut

    NEW YORK, 2 OGOS – Lebih separuh daripada penduduk Sudan kini menghadapi kebuluran akut, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

    “Sekurang-kurangnya 26 juta orang di Sudan, kini menghadapi kebuluran yang teruk, termasuk 755,000 orang yang menghadapi keadaan bencana dengan kematian berkaitan kebuluran juga direkodkan,” menurut Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.

    Dujarric yang memetik laporan terkini Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) berkata keadaan kebuluran bencana telah diunjurkan buat kali pertama dalam sejarah tinjauan IPC di Sudan.

    Menurut beliau, sebanyak 14 kawasan di negara itu telah diisytiharkan ‘berisiko mengalami kebuluran’ dalam beberapa bulan akan datang.

    “Hanya untuk memberi awda beberapa konteks, satu daripada setiap dua rakyat Sudan bergelut untuk mendapatkan makanan yang mencukupi setiap hari,” tambah jurucakap itu.

    Sementara itu, Dujarric berkata Program Makanan Sedunia (WFP) sedang meningkatkan tindak balas kecemasannya untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa di negara itu dengan meningkatkan jumlah bantuan, dan mengenal pasti cara inovatif dan berkesan untuk menyampaikan bantuan segera kepada berjuta-juta orang di seluruh Sudan.

    PBB dan rakan kongsinya memberi amaran bahawa lebih ramai orang di Sudan akan mengalami tahap kebuluran yang teruk jika konflik semasa, yang bermula pada April 2023, tidak dihentikan. – Bernama

    Sukarelawan menyediakan makanan di kem perpindahan di bandar Gedaref di timur Sudan yang dilanda perang pada 13 Julai lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda