Lebih setengah bilion data pengguna ‘dicuri’

WASHINGTON, 7 APRIL – Gergasi platform media sosial Amerika Syarikat (AS), Facebook menyatakan lebih 530 juta data  penggunanya ‘dicuri’ dan menegaskan kejadian berlaku untuk tempoh sebelum September 2019, lapor Sputnik.

“Pada 3 April, Business Insider menerbitkan laporan menyatakan maklumat daripada lebih 530 juta pengguna Facebook, didedahkan menerusi sebuah pangkalan data terbuka.

“Kami mempunyai pasukan yang dikhaskan untuk menangani isu seperti ini dan faham terhadap kesan yang bakal dialami oleh mereka yang menggunakan perkhidmatan kami.

“Penting untuk difahami bahawa pelaku yang berniat jahat ini memperoleh data bukan menerusi tindakan menggodam sistem, sebaliknya mencurinya daripada platfom kami sebelum September 2019,” kata Facebook menerusi satu kenyataannya semalam.

Facebook berkata mereka percaya data terbabit dicuri atau digodam menggunakan platfom import kenalan.

“Sebaik kami mengetahui bagaimana pelaku menggunakan ciri ini pada 2019, kami membuat perubahan kepada platfom import kenalan itu.

“Dalam kes ini, kami mengemas kini platfom itu bagi mengelak anasir jahat menggunakan perisian ini untuk meniru aplikasi kami dan memuat naik sejumlah set nombor telefon untuk melihat nombor mana yang sepadan dengan nombor pengguna kami.

“Menerusi fungsi sebelum ini, pelaku boleh meminta mendapatkan sejumlah set profil pengguna dan mendapatkan maklumat pengguna terbabit termasuk profil umum,” menurut kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, Facebook menegaskan, maklumat yang terdedah tidak termasuk maklumat kewangan, kesihatan atau kata laluan. – Bernama

Gambar fail pada 17 Februari 2019 menunjukkan logo Facebook, media sosial AS yang dipaparkan di Paris. Facebook mengatakan kelmarin penggodam mencuri data peribadi kira-kira setengah bilion pengguna pada tahun 2019. – AFP