KERETA hebat, Mercedes-AMG 63 S Facelift versi Sedan dan Coupe telah memasuki pasaran Asia Tenggara. Kedua-dua C 63 S ini masih dijana oleh enjin M177 V8 4.0 liter dengan pengecas turbo berkembar, berkuasa 510 PS (503 hp) bermula 5,500 hingga 6,250 rpm dan tork maksima 700 Nm bermula 2,500 hingga 5,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G bagi menggantikan transmisi tujuh-kelajuan sebelum ini.
Kuasa dialirkan sepenuhnya ke roda belakang, di mana LSD elektronik dipadankan pada gandar belakang secara standard. Padanan kesemua ini membolehkan model Coupe yang lebih ringan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, manakala sedan pula 4.0 saat. Namun kedua-dua model ini mampu mencatatkan kelajuan maksima yang sama iaitu 290 km/j.
Sistem ekzos AMG Performance juga hadir sebagai standard, bagi membolehkan anda melaras dan memaksimakan ngauman enjin V8 berkenaan. Untuk suspensi pula, pasangan C 63 S ini dilengkapkan dengan AMG Ride Control yang terdiri dari penyerap hentak adaptif yang dikawal secara elektronik dan juga spring gegelung , bersama cagak enjin (mounting) jenis dinamik.
Sistem dinamik
Karekter pemanduan model ini masih boleh dilaras menerusi sistem AMG Dynamic Select. Enam mod pemanduan boleh dipilih oleh pemandu iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Race dan Individual.
Namun sistem berkenaan kini telah dikemaskini dengan penambahan AMG Dynamics, iaitu “kawalan pengendalian yang dibina bersepadu” berfungsi bersama Program Kestabilan Elektronik (ESP) bagi memperhalusi talaan pembahagian tork kepada gandar belakang. Empat larasan diberikan iaitu Basic, Advanced, Pro dan Master, kesemua ini bergantung pada mod AMG Dynamic Select yang dipilih pemandu.
Kedua-dua model ini turut menerima AMG Traction Control, iaitu sistem yang sama diperkenalkan buat pertama kali pada AMG GT R. Sistem ini hanya akan berfungsi sekiranya anda mematikan terus sistem ESP, dan ia membolehkan anda mengawal jumlah traction pada gandar belakang dalam lima larasan berbeza.
AMG Track Pace juga diberikan secara standard, dengan menawarkan lebih 80 data spesifik yang direkodkan sepuluh kali setiap saat, membolehkan anda meneliti kembali setiap aspek seperti kelajuan, pecutan dan sebagainya ketika memandu di litar.
Untuk rupa pula, Sedan dan Coupe ini menerima perubahan pada muka dengan pemadanan gril Panamericana baharu bersama sentuhan semula pada apron hadapan. Di belakang pula, bampar kedua-dua model berkenaan kini diberikan diffuser yang lebih agresif.
Bergaya dan berteknologi tinggi
Kedua-dua model ini juga menerima kelengkapan luaran yang sama terdiri dari pakej AMG Night, pakej AMG Exterior Carbon-Fibre, angkup brek berwarna merah, lip spoiler AMG dan lampu hadapan Multibeam LED bersama Adapative Highbeam Assist Plus. Apa yang berbeza adalah pada rim – kedua-duanya diberikan rim AMG forged bersaiz 19-inci, tetapi Sedan menerima jejari bersilang, manakala Coupe pula dipadankan dengan rim lima jejari berkembar.
Pada bahagian kabin, penyegaran kedua-dua C 63 S ini adalah sama seperti C-Class standard, termasuk paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.3-inci, dan juga paparan sistem infotaimen COMAND ONLINE bersaiz 10.25-inci bersama sistem bunyi surround dari Burmester.
Kelengkapan standard lain yang turut dipadankan pada Sedan dan Coupe ini termasuk roda stereng AMG Performance yang dibalut kulit Nappa/gentian mikro Dinamica, tempat duduk AMG Performance larasan berkuasa dengan sokongan lumbar dan fungsi memori, pad sesentuh, paparan Head-up, lampu suansana dan juga kawalan keselesaan Energizing.
Perbandingan
Model sedan diberikan upholsteri dengan tema putih mutiara/hitam, manakala Coupe pula menerima gabungan warna red pepper/hitam – kedua-duanya dengan material sama iaitu kulit Nappa. Model Sedan diberikan sistem pendingin hawa automatik Thermotronic dengan liang udara belakang, tetapi untuk Coupe hanya hadir dengan sistem Thermatic.
Bagi sistem keselamatan pula, Mercedes-AMG C 63 S Sedan dan Coupe ini dilengkapkan dengan pakej Driving Assistance, iaitu sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari Pilot Distance Distronic (cruise control adaptif dengan fungsi stop & go), Bantuan Kekal Laluan Aktif (pemanduan separa-automatik), Bantuan Titik Buta Aktif dan sistem brek kecemasan automatik. Bantuan Parkir Aktif bersama Parktronic, Keyless-Go dan Akses Tanpa Sentuhan juga diberikan secara standard. – Agensi