Lebih sukar perangi virus musim luruh, sejuk

BERLIN, 28 OGOS – Mengatasi COVID-19 akan menjadi lebih mencabar pada musim luruh dan musim sejuk akan datang, kata Canselor Jerman, Angela Merkel dalam sidang media tahunan musim panas hari ini.

“Beberapa perkara mungkin menjadi lebih sukar dalam beberapa bulan akan datang selepas musim panas,” kata Merkel.

“Kita semua menikmati kebebasan dan perlindungan daripada aerosol pada musim panas, yang mungkin berlaku menerusi kehidupan di luar rumah,” katanya, merujuk pada mikro yang dianggap tersebar melalui udara, terutamanya di tempat tertutup.

Ucapan Merkel keluar setelah beliau bersetuju dengan langkah baharu bersama 16 pemimpin negeri persekutuan Jerman kelmarin yang bertujuan untuk mengatasi peningkatan jumlah kes jangkitan di Jerman yang disebabkan perjalanan asing di musim panas dan parti persendirian.

Langkah-langkah baharu tersebut merangkumi denda minimum berjumlah 50 euro (AS$59) bagi sesiapa yang tidak memakai penutup mulut dan hidung, larangan acara besar hingga akhir tahun dan peraturan kuarantin baharu bagi pelancong.

Canselor Jerman Angela Merkel semasa sidang media musim panas tahunannya kelmarin di Berlin berkata bahawa memerangi koronavirus akan menjadi lebih mencabar pada musim luruh dan sejuk akan datang. – AFP

“Kita terpaksa hidup dengan virus ini untuk waktu yang lama. Ia masih serius. Harap terus menanganinya dengan serius,” Merkel memberikan peringatan.

“Segalanya tidak akan sama seperti sebelum wabak ini, ia akan menjejas kami dengan teruk dan sentiasa wujud,” tambahnya.

Jerman telah berjaya dalam pertarungannya untuk membendung virus setakat ini, tetapi seperti kebanyakan negara Eropah yang lain telah menyaksikan lonjakan kes baharu dalam beberapa minggu terakhir.

Pada hari Jumaat, ia melaporkan 1,571 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 239,507, menurut institut kawalan penyakit Robert Koch.

Negara itu setakat ini mencatatkan 9,288 kematian. – AFP