Wednesday, November 13, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebihkan masa belajar Al-Quran

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Pelajaran dan pembelajaran dalam Al-Quran sepatutnya tidak dipandang ringan dan dianggap sebagai kurang penting sehinggakan period (tempoh masa) bagi mempelajarinya dibiarkan berkurangan berbanding mata pelajaran lainnya.

    Sehubungan dengan itu, semua institusi pendidikan di negara ini khususnya institusi perguruan agama diseru mengambil berat mengenainya kerana tidak munasabah untuk pegawai atau guru agama yang mesti mahir dan menguasai semua aspek mengenai Al-Quran dikurangkan masa mempelajarinya.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu ketika berkenan mengurniakan titah pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas malam tadi.

    “Jadi cuba bayangkan jika mata pelajaran Al-Quran diabaikan ketika di dalam pengajian? Beta berharap perkara ini diambil perhatian sewajarnya,” tekan Baginda.

    Menyentuh mengenai tema musabaqah, Menjana Keberkatan Rezeki dengan Al-Quran, Baginda menjelaskan, berkat boleh diertikan sebagai kurnia berupa rahmat daripada Allah SWT sementara rezeki pula mempunyai maksud pelbagai yang boleh sahaja berupa harta, kesihatan, ilmu pengetahuan, ketenteraman dalam keluarga dan seumpamanya.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada musabaqah tersebut. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

    “Dengan banyak membaca Al-Quran boleh mengundang berkat sedang berkat pula bererti ‘lebih’ atau melimpah-limpah dan di antara yang lebih atau melimpah itu boleh saja berupa rezeki.

    “Antara rezeki, berpunca daripada keberkatan sedekah, keberkatan istighfar, keberkatan usaha dan seumpamanya dan ini semua boleh dirumus sebagai amal takwa,” titah baginda lagi.

    Sehubungan itu, Baginda menegaskan bahawa Baginda tidak akan jemu-jemu menasihatkan agar semua lapisan masyarakat di negara ini melazimkan diri membaca Al-Quran kerana kita semua dituntut untuk sama-sama menghiasi rumah-rumah kita dengan cahaya Al-Quran agar ia terus menyinar dan memberkati segala aktiviti kita.

    Selain membaca Al-Quran, memahami ayat-ayat suci Al-Quran juga adalah keutamaan, justeru kerajaan ketika ini mengusahakan langkah penyusunan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya, titah Baginda.

    “Beta turut mengucapkan penghargaan kepada semua peserta musabaqah pada kali ini. Kalah atau menang bukanlah matlamat utama, tetapi keikhlasan mengharapkan pahala daripada Allah SWT, itulah yang menjadi keutamaan. Kepada para qari dan qariah yang berjaya menjadi juara, kita berdoa semoga Allah memberkati kejayaan mereka,” titah Baginda.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda