LeBron digantung satu perlawanan

LOS ANGELES, 23 NOV – LeBron James telah digantung satu perlawanan berikutan pertengkaran berdarah dengan pemain Detroit Piston Isaiah Stewart, kata NBA semalam.

Bintang Los Angeles Lakers James disingkirkan untuk kali kedua dalam kariernya selepas menyerang Stewart semasa kemenangan ke atas Piston pada Ahad.

Stewart kelihatan dengan darah mengalir akibat kecederaan di muka selepas pertengkaran, dan perlu ditahan berkali-kali oleh rakan sepasukan dan kakitangan ketika dia cuba bersemuka dengan James.

Stewart, 20 tahun, diberikan penggantungan dua perlawanan atas peranannya dalam perkelahian itu.

NBA berkata Stewart telah diberikan penggantungan dua perlawanan ‘kerana mencetuskan perkelahian di gelanggang dengan berkali-kali mengejar James secara agresif dalam tingkah laku yang tidak menunjukkan sikap kesukanan.’

Penggantungan James, yang bermakna dia akan terlepas aksi pasukan Lakers menentang New York Knicks pada hari ini, adalah disebabkan ‘memukul Stewart di muka dan mencetuskan perkelahian di gelanggang.’

Kejadian tersebut berlaku dengan baki 9:18 dalam suku ketiga dan Lakers ketinggalan 79-67. James mengayunkan tangan ke muka Stewart ketika pasangan itu bergelut untuk mendapatkan kedudukan rebound.

Stewart pada mulanya diberi foul kerana bola lepas. Susulan semakan video, James seterusnya juga dikenakan foul dan dihantar ke bilik lokar.

Stewart diberikan dua foul teknikal dan disingkirkan. – AFP

Aksi LeBron James menjaringkan gol sambil dikawal Isaiah Stewart semasa suku pertama perlawanan di Arena Little Caesars pada 21 November di Detroit, Michigan. LeBron telah digantung satu perlawanan berikutan pertengkaran dengan Isaiah Stewart, kata NBA. – AFP