LeBron sudah terima suntikan

LOS ANGELES, 29 SEPT – LeBron James mengesahkan semalam bahawa dia sudah mendapatkan vaksin COVID-19 namun beritahu ‘bukan tugasnya’ untuk meyakinkan pemain NBA yang ragu-ragu mendapatkan vaksin untuk mengikut jejaknya.

Bintang Los Angeles Lakers itu sebelum ini enggan mendedahkan sama ada dia sudah diberikan suntikan, menegaskan sebarang keputusan adalah ‘perkara peribadi’ bagi dirinya serta keluarganya.

Walau bagaimanapun, dia memberitahu wartawan semalam dia sudah diberikan suntikan, sebahagian daripada kempen Lakers untuk memastikan pasukan dan kakitangan 100 peratus diberikan vaksin.

“Lambat laun awda akan mencari jalan untuk membuatkan diri awda bersedia dan cuba melindungi orang lain serta meletakkan diri awda di kedudukan terbaik apabila sudah bersedia untuk rakan sepasukan awda, bersedia untuk melakukan apa yang diperlukan di dalam gelanggang,” kata James.

“Matlamat utama adalah memenangi kejuaraan dan memulakannya dengan badan yang sihat adalah perkara nombor satu.”

LeBron James semasa menghadiri sesi media di Los Angeles, kelmarin. – AP

Kira-kira 90 peratus pemain NBA dipercayai sudah mendapatkan vaksin ketika mereka menghampiri musim baharu.

Walau bagaimanapun, masih ada sebilangan pemain yang sama ada mengatakan enggan mendapatkan vaksin atau tidak mahu mengesahkan status vaksinasi mereka.

Pemain bintang Brooklyn Nets, Kyrie Irving berkata Isnin lalu dia masih memendamkan keputusannya secara peribadi sementara pemain Washington Wizards, Bradley Beal berkata dia belum divaksin atas ‘sebab peribadi’.

Beal semalam membalas kenyataan yang dibuatnya sebelum ini, berkata dia ‘masih mempertimbangkan untuk mendapatkan suntikan’.

“Saya tidak mengatakan awda tidak perlu mengambil vaksin,” kata Beal semasa sidang media di Washington. – AFP