TUKTOYAKTUK, Kanada – Kehidupan boleh menjadi sukar di Tuktoyaktuk, sebuah perkampungan desa Kanada di Lautan Artik di mana satu daripada tiga orang tidak mempunyai pekerjaan.
Tetapi semua perkara itu mungkin berubah dengan ada-nya lebuh raya baru yang meng-hubungkan komuniti kecil itu ke seluruh negara itu dan membawa bersamanya perjanjian pelancongan dan pekerjaan.
Ia adalah harapan yang sudah lama dan pelbagai perancangan bakal dilaksanakan. Lebuh raya tersebut telah dirasmikan baru-baru ini dengan persembahan bungai api, menceriakan penduduk setempat dan sebagai satu penghormatan – dengan memakai pakaian sejuk tebal dalam suasana sejuk yang melampau.
“Hari ini sangat menggembirakan. Kami semua gembira dan teruja,” kata penduduk Tuktoyaktuk, Ella Jean Nogasak, yang memakai anorak merahnya.
Penduduk berusia 72 tahun itu telah menunggu lama untuk akses jalan tersebut ke kawasan komunitinya, yang mana terletak di utara Bulatan Artik.
Selepas bertahun-tahun penangguhan, bekas kerajaan Konservatif Kanada pada tahun 2014 akhirnya telah memberi lampu hijau dengan yang apa dikenali sebagai ‘sumber jalan’, yang bermaksud sebagai suatu saliran bagi firma-firma yang akan memanfaatkan kekayaan minyak dan gas yang mana dipercayai tersembunyi di bawah Laut Beaufort.
Prospek itu kelihatan suram pada setahun yang lalu. Apabila pembinaannya sedang dijalankan, pemerintah kerajaan Liberal Perdana Menteri Justin Trudeau telah mengenakan moratorium selama lima tahun bagi penggerudian di Artik.
Tetapi penduduk di perkampungan terpencil itu masih mengalu-alukan jalan kelikir sejauh 138 kilometer dari Inuvik ke Tuktoyaktuk, yang mana mereka berharap ia akan menamatkan pergantungan musim sejuk mereka terhadap pengangkutan udara yang sangat mahal bagi bekalan makanan, peralatan dan perjalanan. Ia juga dijangka akan membawa lebih ramai pelancong jauh ke utara.
Di Tuktoyaktuk, kadar pengangguran adalah lebih daripada 30 peratus, dan keadaan hidup bagi 930 penduduk adalah sukar.
“Anda cuba lihat, kami tidak mempunyai sebuah hotel, kami hanya memiliki kedai yang terhad, dan peluang itu juga terhad dalam kelompok masyarakat kami,” kata Tianna Gordon-Ruben, yang berharap jalan itu akan menurunkan harga makanan dan membantu mewujudkan pekerjaan dalam kalangan masyarakat.
Sekitar 10 meter (30 kaki) lebar, laluan paling utara di benua itu mempunyai (beberapa tempat) lapisan ibun abadi ‘permafrost’ berketinggian empat meter – suatu lapisan tebal bawah tanah yang masih beku sepanjang tahun.
Pengurus projek Dean Ahmet menjelaskan bahawa pembinaan jalan raya bernilai Can$300 juta (AS$235 juta) melalui rantau yang dikelilingi dengan tasik dan sungai itu bukanlah suatu pekerjaan yang mudah.
Ibun abadi akan terlalu lembut bagi menyokong peralatan pembinaan berat semasa musim panas, oleh itu sebahagian besar pembinaan – yang melibatkan lebih dari 600 orang pekerja – perlu dilakukan dalam tempoh tujuh atau lapan bulan semasa musim sejuk.
“Ini adalah satu cabaran ke-rana kami bekerja dalam suhu yang sangat melampau antara -15 hingga -57 (Celcius, 5 hingga -70 Fahrenheit), 24 jam sehari,” katanya kepada AFP.
Pada majlis perasmian, Bob McLeod, ketua Wilayah Barat Laut, telah memberi penghormatan kepada anggota kru yang telah bekerja siang dan malam demi menyiapkan projek tersebut.
Dalam tundra beku, had kelajuan 70 kilometer sejam telah ditetapkan untuk para pemandu agar tidak tergelincir semasa keadaan bersalji.
Darrel Nasogaluak, Datuk Bandar Tuktoyaktuk, menyuarakan garis panduan baru ini dengan ucapan dan jabat tangan untuk semua orang, dengan harapan ia akan membawa kualiti hidup yang lebih baik bagi penduduk di utara.
Untuk meraikannya, beberapa komuniti masyarakat di sana telah mengadakan perayaan terdiri daripada permainan tradisional Inuit dan pesta makanan laut termasuklah caribou dan muktuk (kulit dan bluber ikan paus beluga).
“Anda tahu, kami akan mendapat akses yang lebih baik dalam penjagaan kesihatan, akses yang lebih baik dari segi makanan yang lebih sihat dan segar,” kata Nasogaluak kepada pembeli di salah sebuah kedai runcit di Tuktoyaktuk, di mana satu liter susu berharga hampir dua kali ganda di Vancouver, 3,800 kilometer ke selatan.
Dengan ramalan matahari yang cerah dalam beberapa bulan, adakah para pelancong akan berduyun-duyun ke Tuktoyaktuk? Nasogaluak berharap demikian.
“Saya hanya ingin menjemput semua orang di Kanada, selatan Kanada dan seluruh dunia untuk berkongsi kebudayaan kami dan juga pemandangan yang luar biasa ini.
“Pintu kami sentiasa terbuka, anda tahu, kami bersedia berkongsi.” – AFP