Leclerc galas misi Raikkonen

MILAN, 11 Sept – Pemandu muda Monaco, Charles Leclerc akan menggantikan pelumba veteran Finland, Kimi Raikkonen untuk Ferrari musim depan dan bekas juara dunia itu kembali ke Sauber, menurut kenyataan daripada kedua-dua pasukan Formula Satu (F1) itu hari ini.

Leclerc, berusia 20 tahun merupakan juara Formula Dua 2017 dan membuat kemunculan musim ini bersama pasukan Sauber.

“Scuderia Ferrari mengumumkan bahawa pada penghujung musim ini, Kimi Raikkonen akan meninggalkan peranannya dan Charles Leclerc akan memandu bersama Sebastian Vettel, pada musim depan,” menurut kenyataan itu.

“Mimpi menjadi kenyataan. Saya akan memandu untuk @scuderiaferrari bagi Kejohanan Dunia F1 2019,” kata Leclerc.

Leclerc mempunyai permulaan yang cerah apabila tamat di tempat keenam perlumbaan Grand Prix di Azerbaijan.

Gambar fail bertarikh 23 Mei yang lalu menunjukkan Leclerc (kiri) dan Vettel semasa sidang media di Monaco. Pelumba muda itu akan berlumba buat Ferrari menggantikan Raikkonen pada musim akan datang. – AP

Dia telah dilatih bersama Scuderia Ferrari selama bertahun-tahun yang dikendalikan oleh Nicolas Todt, anak kepada bekas pengetua pasukan Ferrari dan presiden FIA sekarang, Jean Todt.

Leclerc menambah, dia berasa bersyukur atas peluang diberikan Scuderia Ferrari kepadanya dan kepada Nicola Todt di atas sokongan yang diberikan sejak 2011 termasuklah keluarganya. Raikkonen, 38 tahun telah bersaing dalam 287 Grand Prix, memenangi 20 kejuaraan sejak muncul bersama Sauber pada 2001.

Pelumba itu telah mencapai penamatnya yang ke-100 di atas podium, dengan berakhir di tempat kedua pada siri perlumbaan Grand Prix Itali di Monza bulan ini setelah meraih pole ke-18 dengan penuh bergaya dengan pusingan terpantas sepanjang masa F1. – AFP