SPIELBERG, AUSTRIA, 11 JULAI – Charles Leclerc kelmarin muncul sebagai juara apabila dia berjaya mencipta kejayaan dalam Grand Prix (GP) Austria sekali gus menamatkan kemarau kemenangannya sebagai pemandu Ferrari dalam lima perlumbaan Formula Satu (F1) tanpa tempat di podium sebelum ini.
Leclerc juga mendedahkan bahawa dia menghadapi cabaran besar pada pusingan penutup kerana pendikitnya tidak berfungsi dengan baik, menjadikannya lebih sukar untuk mengawal kelajuan semasa di selekoh.
Sementara itu, ia merupakan situasi yang berbeza bagi rakan sepasukannya di Ferrari, Carlos Sainz Jr., yang harapannya untuk menduduki tempat kedua di Austria berakhir secara mendadak apabila enjin keretanya meletup ketika dia cuba mengejar Red Bull milik juara dunia F1, Max Verstappen.
Walau bagaimanapun, Sainz sempat keluar dan menyelamatkan diri ketika api sedang menjilat sut perlumbaannya.
Tiada kecederaan dilaporkan dan dia dilihat hanya duduk di atas rumput merenung nasib malangnya.
Sainz sebelum ini memenangi GP Britain pada hujung minggu lalu di mana Leclerc jatuh dari tempat pertama ke tempat keempat. Namun Leclerc bangkit daripada kekalahan itu untuk mengatasi Verstappen di GP Austria dengan mendahului 1.5 saat bagi kemenangan ketiganya pada musim ini. Ia merupakan kemenangan pertama Leclerc sejak GP Australia pada April. Selepas menyandang tempat kedua di GP Amerika Syarikat pada bulan Mei, dalam lima perlumbaan, Leclerc hanya meraih dua tempat keempat, satu di tempat kelima dan dua perlumbaan lagi gagal diakhirinya.
“Saya terus bersikap optimis, tetapi dengan perlumbaan yang berturut-turut, segala-galanya seperti membebankan saya,” kata Leclerc, yang juga memenangi GP Bahrain. “Akhirnya kami mendapat satu kejayaan dan saya benar-benar berasa gembira untuk menang sekali lagi,” tambahnya. – AP